Hamza Laden, anak kepada pengasas al-Qaeda, Osama Laden, terbunuh dalam satu operasi dilancarkan Amerika Syarikat (AS).

Berita kematiannya disahkan Presiden AS, Donald Trump.

Hamza maut dalam operasi memerangi keganasan di wilayah Afghanistan/Pakistan.

Bagaimanapun, waktu operasi tersebut dijalankan tidak didedahkan.

Bulan lalu, media di Amerika Syarikat melaporkan Hamza terbunuh dalam satu serangan udara.

Hamza disenaraikan sebagai pengganas global secara rasmi oleh AS dua tahun lepas.

Berusia sekitar 30-an, Hamza dianggap pengganti bapanya dalam al-Qaeda dan pernah beberapa kali mengeluarkan arahan supaya serangan dilancarkan di AS dan beberapa negara lain.

Trump dalam satu kenyataan dikeluarkan White House menyifatkan kematian Hamza berupaya melumpuhkan pergerakan al-Qaeda.

Washington pernah menawarkan ganjaran sehingga AS$1 juta untuk sebarang maklumat yang membawa kepada penangkapannya.