AS dakwa Iran rancang bunuh Duta Israel di Mexico

Penunjuk perasaan mengangkat poster Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan bendera Iran ketika perhimpunan tahunan di hadapan bekas Kedutaan Amerika Syarikat di Tehran pada Selasa lalu. - Gambar AP
WASHINGTON: Amerika Syarikat dan Israel pada Jumaat mendakwa, Iran merancang satu cubaan pembunuhan terhadap Duta Israel ke Mexico, Einat Kranz-Neiger, dalam satu lagi insiden yang dilihat sebagai usaha membawa konflik dua negara itu ke rantau lain.
Menurut kenyataan Kementerian Luar Israel, pihak berkuasa Mexico berjaya menggagalkan cubaan tersebut yang didakwa didalangi oleh rangkaian pengganas yang berpangkalan di Iran.
“Kami berterima kasih kepada pasukan keselamatan dan penguatkuasa undang-undang Mexico kerana berjaya menggagalkan rangkaian pengganas yang diketuai Iran dan cuba menyerang Duta Israel di Mexico,” kata kenyataan itu.
Seorang pegawai AS memaklumkan, rancangan itu dipercayai dimulakan oleh Pasukan Quds, sayap elit Pengawal Revolusi Iran, pada penghujung 2024 dan berjaya digagalkan tahun ini.
Cubaan itu didakwa melibatkan perekrutan ejen dari Kedutaan Iran di Venezuela, negara yang mempunyai hubungan strategik dengan Tehran di bawah pimpinan Presiden Nicolas Maduro.
“Plot ini telah berjaya dikawal dan tidak lagi menjadi ancaman semasa,” kata pegawai AS yang enggan dinamakan.
Tambahnya, insiden ini adalah sebahagian daripada sejarah panjang Iran yang didakwa menyasarkan individu di luar negara termasuk diplomat, wartawan dan penentang politik.
Setakat ini, Iran belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, manakala Mexico juga belum memberikan maklum balas.
Cubaan pembunuhan ini dipercayai berlaku selepas serangan Israel ke atas kompleks kedutaan Iran di Damsyik pada 1 April 2024 yang mengorbankan beberapa pegawai kanan Pengawal Revolusi.
Susulan serangan itu, Iran melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu dan dron ke arah Israel.
Setahun kemudian, Israel melancarkan kempen pengeboman besar-besaran ke atas Iran yang mengorbankan lebih 1,000 nyawa.
Amerika Syarikat turut menyertai serangan itu dengan menyasarkan kemudahan nuklear Iran.
Iran yang dipimpin oleh ulama konservatif kekal sebagai penyokong utama Hamas, kumpulan pejuang Palestin yang melancarkan serangan mengejut ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Israel membalas dengan kempen ketenteraan berterusan yang memusnahkan sebahagian besar Gaza dan meluaskan operasi ke rantau lain termasuk Iran, Syria, Lubnan, Qatar dan Yaman.
Perisikan Israel turut menuduh Pasukan Quds merancang serangan ke atas sasaran Israel dan Yahudi di luar negara.
Australia sebelum ini mengusir Duta Iran susulan dakwaan penglibatan Tehran dalam dua insiden kebakaran - satu di sebuah sinagog (tempat ibadat penganut Yahudi) di Melbourne dan satu lagi di restoran kosher di Sydney.
Amerika Latin bukan asing kepada keganasan berkaitan Asia Barat.
Serangan bom ke atas pusat Yahudi di Buenos Aires pada 1994 mengorbankan 85 orang, yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Hezbollah atas arahan Iran.
Walaupun kerajaan Iran bermusuhan dengan Israel, negara itu masih menempatkan komuniti Yahudi yang bersejarah.
Mexico, yang turut mempunyai komuniti Yahudi yang besar, telah mengiktiraf Israel sejak awal penubuhannya dan mengambil pendekatan berhati-hati dalam konflik Gaza, menyokong siasatan terhadap dakwaan jenayah perang Israel namun mengekalkan hubungan diplomatik. - Agensi

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

