WASHINGTON: Komando Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan tenteranya telah menyerang lebih 80 sasaran ketenteraan di Iran dalam siri operasi terbaharu yang dilancarkan pada Selasa.
Menurut CENTCOM, sasaran itu merangkumi sistem pertahanan udara, tapak radar pesisir pantai serta keupayaan peluru berpandu anti-kapal milik Iran.
Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas lokasi dan tarikh sebenar rakaman video yang dikeluarkan pihak tentera Amerika Syarikat berhubung operasi tersebut.
Sementara itu, media Iran melaporkan beberapa letupan kedengaran awal pagi Rabu di Pulau Kharg yang merupakan hab minyak utama negara itu, selain di Pulau Qeshm serta bandar pelabuhan Sirik dan Bandar Abbas.
Menurut laporan televisyen kerajaan Iran, tiada kematian orang awam dilaporkan, namun beberapa individu cedera akibat serpihan peluru yang mengenai sebuah jeti komersial di Sirik.
Dalam perkembangan sama, Markas Pusat Khatam al-Anbiya, iaitu ibu pejabat tertinggi operasi bersama angkatan tentera Iran, memberi amaran bahawa Tehran akan melancarkan tindak balas yang disifatkan sebagai "menghancurkan" terhadap tindakan Amerika Syarikat.
Menurut kenyataan markas itu, Iran juga tidak akan membenarkan sebarang campur tangan Amerika Syarikat dalam pengurusan laluan perkapalan di Selat Hormuz.
Ketegangan antara kedua-dua negara terus meningkat ketika Selat Hormuz kekal menjadi laluan strategik bagi perdagangan minyak global.