ISTIADAT PERNIKAHAN DIRAJA | Raja Muda Selangor bakal melangsungkan pernikahan pada 2 Oktober ini
DUNIA

Dakwaan campur tangan pilihan raya: Jawatankuasa Parlimen Korea Selatan akan adakan pendengaran terhadap Ketua Hakim

Bernama 22/09/2025 | 20:00 MYT
Usul itu diluluskan semasa sesi pleno Jawatankuasa Perundangan dan Kehakiman Perhimpunan Kebangsaan yang dipengerusikan Parti Demokrat. - Gambar fail Reuters
SEOUL: Jawatankuasa Kehakiman Parlimen Korea Selatan pada Isnin meluluskan satu usul untuk mengadakan pendengaran terhadap Ketua Hakim Mahkamah Agung Cho Hee-dae berhubung dakwaan campur tangan pilihan raya berkaitan kes pelanggaran undang-undang pilihan raya oleh Presiden Lee Jae Myung, lapor Agensi Berita Yonhap.

Usul itu diluluskan semasa sesi pleno Jawatankuasa Perundangan dan Kehakiman Perhimpunan Kebangsaan yang dipengerusikan Parti Demokrat (DP) yang memerintah, ketika anggota parti pembangkang utama, Parti Kuasa Rakyat (PPP), memboikot.

Dengan kelulusan itu, jawatankuasa berkenaan akan mengadakan pendengaran pada 30 Sept terhadap Cho dan bekas Perdana Menteri, Han Duck-soo bersama beberapa hakim Mahkamah Agung lain.

Cho berdepan dakwaan campur tangan pilihan raya selepas Mahkamah Agung di bawah pimpinannya mengetepikan keputusan tidak bersalah dalam kes pelanggaran undang-undang pilihan raya melibatkan Lee, dan mengembalikannya ke mahkamah bawahan untuk perbicaraan semula, hanya beberapa hari sebelum Pilihan Raya Presiden pada 3 Jun.

Keputusan itu mencetuskan syak wasangka kerana disampaikan dalam tempoh yang luar biasa cepat.

Ahli Parlimen DP berhujah bahawa Cho telah bertemu dengan Han sebelum keputusan itu dan berkata beliau akan "menguruskan" kes Lee apabila ia sampai ke Mahkamah Agung.

-- BERNAMA



#Korea Selatan #pendengaran #Ketua Hakim #campur tangan pilihan raya #pelanggaran undang-undang