Skip to main content

Dunia

Dalam tahanan, Aung San Suu Kyi terima bungkusan daripada Raja Charles

Aung San Suu Kyi bercakap dengan pegawai Kementerian Dalam Negeri ketika menerima dua naskhah buku dan sepucuk surat bermeterai daripada Raja Britain, Raja Charles III, di Naypyidaw, Myanmar. Gambar ini dikeluarkan Pejabat Jurucakap Presiden Myanmar pada 19 Oktober 2026. - Gambar AP
Aung San Suu Kyi bercakap dengan pegawai Kementerian Dalam Negeri ketika menerima dua naskhah buku dan sepucuk surat bermeterai daripada Raja Britain, Raja Charles III, di Naypyidaw, Myanmar. Gambar ini dikeluarkan Pejabat Jurucakap Presiden Myanmar pada 19 Oktober 2026. - Gambar AP

Advertisement

YANGON: Pemimpin demokrasi Myanmar yang ditahan, Aung San Suu Kyi, menerima bungkusan daripada Raja Britain, Raja Charles III pada Isnin, menurut pihak berkuasa negara itu.

Perkembangan itu turut menyaksikan pihak berkuasa Myanmar mengeluarkan gambar terbaharu pemenang Hadiah Nobel Keamanan berkenaan, yang pertama dalam tempoh dua bulan.

Dalam kenyataan mengenai perkara itu, pihak berkuasa Myanmar turut merujuk Aung San Suu Kyi sebagai “tahanan wanita khas”, kali pertama istilah berkenaan digunakan terhadap beliau.

Aung San Suu Kyi digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2021 yang mencetuskan konflik berpanjangan di Myanmar.

Menurut pemantau konflik ACLED, perang saudara yang menyusul sejak rampasan kuasa itu telah mengorbankan lebih 100,000 orang.

Bekas ketua junta, Min Aung Hlaing dilantik sebagai presiden awam pada April susulan pilihan raya yang tidak disertai parti pimpinan Aung San Suu Kyi. Beliau kemudiannya dipindahkan ke tahanan rumah.

Pegawai Kementerian Dalam Negeri Myanmar bertemu Aung San Suu Kyi pada Isnin bagi menyerahkan bungkusan berkenaan.

Menurut jurucakap Presiden Myanmar menerusi Facebook, bungkusan itu mengandungi dua buku mengenai tanah, satu sampul surat yang dimeterai serta komunikasi diplomatik daripada Raja Charles kepada Aung San Suu Kyi.

Britain merupakan bekas kuasa penjajah Myanmar, manakala Raja Charles diketahui mempunyai minat mendalam terhadap bidang berkebun dan alam sekitar.

Dua gambar yang dikeluarkan bersama kenyataan itu menunjukkan Aung San Suu Kyi sedang bertemu dua lelaki yang membelakangi kamera.

Gambar berkenaan dipercayai dirakam di sebuah bilik yang kelihatan serupa dengan lokasi gambar beliau yang dikeluarkan kali terakhir pada Ogos, ketika bertemu seorang wakil Palang Merah.

Pertemuan pada Ogos itu merupakan pertemuan pertama Aung San Suu Kyi dengan pegawai asing yang didedahkan kepada umum sejak beliau digulingkan.

Pemeriksa fakta oleh agensi berita antarabangsa AFP yang meneliti gambar terbaharu berkenaan tidak menemui bukti ia dimanipulasi menggunakan peralatan kecerdasan buatan (AI) generatif Meta atau OpenAI.

Aung San Suu Kyi masih ditahan atas beberapa pertuduhan yang disifatkan kumpulan hak asasi manusia sebagai direka untuk mengembalikan kuasa kepada tentera, yang mempunyai sejarah panjang pemerintahan di Myanmar sejak negara itu mencapai kemerdekaan.

Min Aung Hlaing dalam wawancara bersama majalah Time yang diterbitkan bulan lalu mendakwa, beliau telah memberikan layanan yang sangat berlembut terhadap Aung San Suu Kyi.

Sementara itu, Pejabat Luar Britain ketika menjawab pertanyaan AFP tidak menyatakan sama ada diplomat negara itu pernah memohon untuk menyerahkan sendiri bungkusan berkenaan atau dihalang daripada berbuat demikian.

Kerajaan Britain sebelum ini mengecam penahanan Aung San Suu Kyi yang disifatkannya sebagai sewenang-wenangnya, selain menggesa supaya beliau dibebaskan serta-merta tanpa syarat. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement