DUNIA

AS dan China adakan rundingan perdagangan dua hari di Malaysia

Bernama 23/10/2025 | 07:20 MYT
Bessent berkata pasukannya berharap dapat menyelesaikan beberapa perbezaan dengan pegawai China agar Trump dan Jinping "dapat memulakan perbincangan mereka dalam suasana yang lebih positif". - Gambar/ Reuters
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan China akan mengadakan satu lagi pusingan rundingan perdagangan peringkat tinggi hujung minggu ini di Malaysia, bagi membuka laluan kepada pertemuan antara presiden kedua-dua kuasa ekonomi terbesar dunia, lapor Agensi Berita Kyodo memetik Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent.


Ringkasan AI
  • Amerika Syarikat dan China akan mengadakan rundingan perdagangan peringkat tinggi hujung minggu ini di Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, melibatkan delegasi diketuai Naib Perdana Menteri China He Lifeng dan Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent.
  • Rundingan bertujuan membuka laluan kepada pertemuan antara Presiden Donald Trump dan Presiden Xi Jinping dalam suasana lebih positif, dengan harapan menyelesaikan beberapa perbezaan perdagangan.
  • Trump dijangka berbincang isu import kacang soya, pelucutan senjata nuklear, mineral nadir bumi dan penyelesaian konflik Rusia-Ukraine, sebelum menghadiri Sidang Kemuncak APEC di Korea Selatan bersama Xi minggu depan.


"Saya akan berlepas petang ini. (Wakil Perdagangan AS) Jamieson Greer sudah dalam perjalanan ke Kuala Lumpur," kata Bessent kepada rangkaian Fox Business pada Rabu, sambil menambah bahawa rundingan dengan delegasi China yang diketuai Naib Perdana Menteri He Lifeng akan diadakan pada Sabtu dan Ahad bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Bessent berkata pasukannya berharap dapat menyelesaikan beberapa perbezaan dengan pegawai China agar Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping "dapat memulakan perbincangan mereka dalam suasana yang lebih positif."

"Adalah sesuatu yang merugikan jika pertemuan bersemuka pertama mereka dalam penggal kedua Presiden Trump disia-siakan," katanya.

Menurut Bessent, kedua-dua pihak sedang berusaha mengatasi halangan sedia ada dan bergerak ke arah "dialog yang lebih konstruktif antara AS dan China."

Trump sebelum ini menyatakan keyakinan terhadap kemungkinan mencapai beberapa perjanjian dengan Xi, namun tidak memberikan asas kepada keyakinannya.

Pada Rabu, Trump memberitahu pemberita di Rumah Putih bahawa AS akan "mencapai perjanjian dalam pelbagai perkara," termasuk berhubung penyambungan semula import kacang soya dari China serta kemungkinan perbincangan isu pelucutan senjata nuklear.

Trump turut menyatakan keyakinan bahawa sekurang-kurangnya akan ada persetujuan mengenai mineral nadir bumi.

Dalam pertemuan yang dijadualkan, beliau juga merancang untuk berbincang dengan Xi mengenai cara menamatkan peperangan Rusia di Ukraine.

"Saya fikir beliau (Xi) boleh memberi pengaruh besar terhadap (Presiden Rusia) Vladimir Putin," kata Trump.

Selepas melawat Malaysia dan Jepun, Trump serta Xi dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Korea Selatan minggu depan.

Sementara itu, Jabatan Negara AS memaklumkan bahawa Setiausaha Negara Marco Rubio akan melawat Malaysia, Jepun dan Korea Selatan dari Ahad hingga 30 Okt.

-- BERNAMA





#Amerika Syarikat #China #perang perdagangan #Scott Bessent