DUNIA

Dari arak ke tali pinggang hitam: Rakun mabuk disyaki pecah masuk kedai karate di Virginia

Astro Awani 13/12/2025 | 23:45 MYT
Rakun tersebut pertama kali ditemui dua hari selepas sambutan Thanksgiving, dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik air sebuah kedai minuman keras. - Foto AP
VIRGINIA: Seekor rakun yang sebelum ini menjadi tular selepas ditemui dalam keadaan mabuk di sebuah kedai arak di Ashland, Virginia, Amerika Syarikat (AS) kini disyaki terlibat dalam siri kejadian pecah masuk, termasuk ke sebuah studio karate dan pejabat Jabatan Kenderaan Bermotor (DMV) tempatan.

Pegawai Perlindungan Haiwan Daerah Hanover, Samantha Martin, berkata rakun yang kini digelar “trashed panda” itu dipercayai telah memecah masuk ke tiga premis berbeza dalam kawasan kompleks membeli-belah yang sama.

“Ini adalah kali ketiga rakun itu telah memecah masuk,” katanya dalam podcast rasmi daerah, Hear in Hanover.

Rakun tersebut pertama kali ditemui dua hari selepas sambutan Thanksgiving, dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik air sebuah kedai minuman keras selepas dipercayai memecahkan botol-botol arak dan meminumnya.

Selepas pulih daripada mabuk, haiwan itu dilepaskan kembali ke habitat liar.

Namun, siasatan lanjut mendapati rakun berkenaan turut terlibat dalam kejadian pecah masuk ke studio karate berdekatan dan mencuri makanan ringan dari pejabat DMV.

Pegawai Martin menyifatkan haiwan itu sebagai “makhluk kecil yang bijak” dan tidak menolak kemungkinan ia akan kembali melakukan jenayah serupa.

Kisah rakun ini telah mencetuskan fenomena budaya pop di Virginia, termasuk kempen barangan edisi terhad, resipi koktel bertemakan rakun, dan peraduan memburu harta karun.

Malah, kempen tersebut berjaya mengumpul lebih AS$200,000 untuk Perlindungan Haiwan Daerah Hanover setakat ini.

Walaupun lucu, insiden ini turut menimbulkan persoalan tentang bagaimana haiwan liar semakin berani menghampiri kawasan manusia, dipercayai akibat perubahan habitat dan pencarian makanan yang mudah di kawasan bandar.






#Rakun #kedai karate #mabuk #trashed panda