DUNIA

Dari dusun ke global, buah-buahan istimewa Aksu tarik perhatian

Fauzi Zin 18/10/2025 | 01:45 MYT
Majlis perasmian Pameran Perdagangan Buah-Buahan Istimewa (Aksu) Xinjiang 2025. - Astro AWANI
XINJIANG: Pameran Perdagangan Buah-Buahan Istimewa (Aksu) Xinjiang 2025 bakal menjadi tumpuan global, berfungsi sebagai platform strategik untuk mempromosikan hasil bumi premium tempatan serta mengukuhkan jaringan perdagangan antarabangsa.


Ringkasan AI
  • Pameran Buah-Buahan Istimewa Aksu 2025 tampil sebagai platform global, mempromosikan hasil pertanian premium Xinjiang dan memperkukuh jaringan perdagangan antarabangsa.
  • Edisi ke-11 pameran ini tarik hampir 500 pempamer, dengan aktiviti seperti pertandingan "Raja Buah", reka bentuk pembungkusan, dan penstriman langsung untuk urusan e-dagang.
  • Aksu diposisikan sebagai hab pelancongan dan perdagangan dinamik, dengan 38 laluan penerbangan aktif dan produk seperti epal, mulberi dan aprikot menembusi pasaran luar.


Edisi ke-11 pameran ini yang memfokuskan kepada hasil perhutanan dan buah-buahan, dijangka menarik minat pelabur dari seluruh dunia untuk meneroka potensi ekonomi wilayah Xinjiang.

Bertemakan "Buah-buahan Memenuhi Jalan Sutera, Meraikan Hasil yang Lumayan, Dusun Manis Aksu," pameran ini menyerlahkan kekayaan hasil pertanian Xinjiang, serta mempromosikan Aksu sebagai destinasi pelancongan yang unik.

“Sorotan utama pameran perdagangan kali ini ialah kita dapat melihat bahawa empat syarikat penerbangan yang bekerjasama dengan Lapangan Terbang Xinjiang telah bersama-sama mengadakan pameran semula di tapak pameran perdagangan kami.

Pada masa ini, Aksu mempunyai 38 laluan penerbangan yang menghubungkan lebih daripada 40 bandar di seluruh negara. Boleh dikatakan bahawa produk-produk Aksu yang baik khususnya epal Aksu mampu menembusi pasaran dunia,” kata Ketua Pengurus Media Tarim Aksu, Cao Xianbao.

Majlis perasmian telah diadakan pada 17 Oktober 2025 di Pekan Filem, Aksu, dengan penyertaan hampir 500 pempamer.

Pameran ini menawarkan 12 aktiviti menarik termasuk pameran kebudayaan dan pelancongan bertemakan epal Aksu yang terkenal, pertandingan "Raja Buah" yang mengiktiraf kualiti terbaik hasil tempatan, serta pertandingan reka bentuk pembungkusan yang inovatif.


Platform penstriman langsung dan e-dagang juga disediakan untuk memudahkan urusan perniagaan antara peniaga dan pembeli di seluruh dunia.

"Dengan menyertai pameran ini, kami ingin memperkenalkan produk-produk istimewa Kuqa kami kepada pengguna luas sama ada di dalam atau di luar Xinjiang, atau bahkan di seluruh negara dan luar negara. Produk-produk istimewa Kuqa yang terkenal termasuklah mulberi, aprikot dan walnut serta buah pir,” ujar Pegawai Jabatan Perhutanan dan Padang Rumput Kuqa, Aksu Bai Weihua.

Pameran Perdagangan Buah-Buahan Istimewa Xinjiang (Aksu) 2025 dijangka menarik ribuan pelawat dari seluruh dunia, membuktikan potensi Aksu sebagai hab perdagangan dan pelancongan yang dinamik.

Acara ini dijangka menjana peluang perniagaan yang signifikan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi wilayah Xinjiang.






#Aksu #hasil bumi premium #buah #Destinasi pelancongan