[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
DUNIA

Data 6.1 juta pengguna, kakitangan Netmarble bocor akibat penggodaman

Bernama 27/11/2025 | 21:30 MYT
Maklumat yang bocor merangkumi nama pelanggan, tarikh lahir dan kata laluan berkod; nama dan alamat e-mel pemilik kafe internet; serta nama, alamat e-mel dan nombor telefon pekerja. - Reuters
SEOUL: Penerbit permainan video Netmarble Corp pada Khamis memaklumkan bahawa data peribadi 6.1 juta pengguna dan pekerjanya telah terdedah susulan percubaan penggodaman terhadap laman permainan PC syarikat itu, lapor Agensi Berita Yonhap.

"Kami telah mengesahkan dan sedang mengambil tindakan berhubung kebocoran data pelanggan yang disebabkan oleh cubaan penggodaman luaran pada 22 Nov," menurut Netmarble dalam satu notis yang disiarkan di laman webnya.

Syarikat itu berkata maklumat yang dipercayai terdedah termasuk data pelanggan bagi laman perkhidmatan permainan PC kasualnya, maklumat pemilik kafe Internet bersekutu sebelum 2015 dan data beberapa pekerja semasa serta bekas pekerja.

Maklumat yang bocor merangkumi nama pelanggan, tarikh lahir dan kata laluan berkod; nama dan alamat e-mel pemilik kafe internet; serta nama, alamat e-mel dan nombor telefon pekerja.

Netmarble menegaskan bahawa maklumat sensitif seperti nombor pengenalan diri tidak terjejas.

"Kami memohon maaf atas kebocoran maklumat peribadi akibat insiden penggodaman ini. Kami sedang menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas seluruh sistem dan akan berusaha sedaya upaya untuk mencegah insiden seumpama ini berulang," menurut syarikat itu.

-- BERNAMA



#netmarble #data pengguna bocor #godam #maklumat bocor