INTERNATIONAL

Datuk Bandar Istanbul Ekrem Imamoglu ditahan berhubung siasatan rasuah

Bernama 23/03/2025 | 14:55 MYT
Mahkamah Majistret yang bertugas telah memutuskan untuk menahan suspek, Ekrem Imamoglu atas tuduhan menubuhkan dan mengetuai organisasi jenayah. - Gambar Agensi
ISTANBUL: Sebuah mahkamah di Turkiye pada Ahad memerintahkan penahanan Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah terhadap perbandaran metropolitan negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pejabat Ketua Pendakwa Raya Istanbul dalam satu kenyataan rasmi berkata: "Dalam skop siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Ketua Pendakwa Raya kami, Mahkamah Majistret yang bertugas telah memutuskan untuk menahan suspek, Ekrem Imamoglu atas tuduhan menubuhkan dan mengetuai organisasi jenayah, menerima rasuah, melakukan pemerasan, merekodkan data peribadi secara tidak sah serta campur tangan proses tender dalam rangka siasatan kewangan."

Pejabat Ketua Pendakwa Raya Istanbul telah melancarkan siasatan terhadap Imamoglu dan 99 suspek lain atas pelbagai tuduhan, termasuk mengetuai organisasi jenayah, keahlian dalam organisasi jenayah, pecah amanah, rasuah, penipuan, pemerolehan data peribadi secara tidak sah dan memanipulasi tender awam.

Selepas proses di balai polis, beberapa suspek telah dibawa ke Mahkamah Istanbul di Caglayan untuk prosiding di hadapan mahkamah yang bertugas.

Mahkamah memutuskan untuk menahan Imamoglu.

Turut ditahan dalam siasatan itu ialah Murat Ongun, pembantu Imamoglu yang juga pengerusi Medya Inc -- sebuah syarikat milik majlis perbandaran itu -- serta Pengurus Besar Syarikat Imamoglu Insaat, Tuncay Yilmaz

Prosiding bagi suspek lain masih berjalan.

-- BERNAMA


#Mahkamah Majistret #Rasuah #organisasi jenayah #kenyataan rasmi