DUNIA
Datuk Bandar New York, Eric Adams umum tarik diri, laluan Mamdani - Cuomo semakin terbuka

Eric Adams ketika hadir pada satu upacara sempena ulang tahun ke-24 serangan 11 Sept ke atas Pusat Dagangan Dunia di Memorial dan Muzium 9/11 di daerah Manhattan, New York City, pada 11 Sept 2025. - Gambar Reuters
NEW YORK: Datuk Bandar New York, Eric Adams mengumumkan tidak akan bertanding untuk penggal kedua, sekali gus membuka laluan kepada persaingan sengit antara wakil Demokrat, Zohran Mamdani dan bekas Gabenor, Andrew Cuomo yang bertanding sebagai calon Bebas.
Keputusan itu diumumkan Adams pada Ahad melalui hantaran di platform X, selepas beberapa tinjauan pendapat menunjukkan beliau jauh ketinggalan di belakang Mamdani dan Cuomo menjelang pilihan raya pada 4 November ini.
“Walaupun banyak yang telah kita capai, saya tidak dapat meneruskan kempen untuk pemilihan semula,” katanya.
Adams yang akan menamatkan penggalnya pada 1 Januari 2026, menegaskan, beliau akan terus berkhidmat sehingga tamat tempoh lantikan.“Saya akan terus berjuang untuk kota ini,” katanya lagi.
Kebimbangan perpecahan undi
Kebangkitan Mamdani, seorang demokratik sosialis, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan komuniti perniagaan New York serta sebahagian anggota Parti Demokrat.
Mereka bimbang pencalonan serentak Adams dan Cuomo akan memecah undi penentang sekali gus memudahkan laluan Mamdani ke kerusi Datuk Bandar.
Adams, bekas anggota polis New York, sebelum ini berdepan tahap sokongan yang rendah dengan kadar kelulusan menjunam ke angka satu digit - seiring dengan calon Republikan, Curtis Sliwa.
Awal bulan ini, Presiden Donald Trump turut menggesa Adams menarik diri daripada persaingan, memberi amaran tentang risiko sekiranya Mamdani menang.
Namun ketika itu, Adams bertegas akan terus bertanding.
Dalam kenyataannya pada Ahad, Adams sempat memberi peringatan berhubung perubahan politik yang dibawa Mamdani.
“Perubahan besar dialu-alukan dan perlu, tetapi berhati-hati dengan mereka yang mendakwa penyelesaian terbaik adalah meruntuhkan sistem yang kita bina bersama selama beberapa generasi. Itu bukan perubahan, itu kekacauan,” katanya. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami