OSLO: Datuk Bandar Oslo, Anne Lindboe, menangguhkan majlis perkahwinannya selepas Raja Norway, Raja Harald V, mangkat pada Jumaat.
Majlis perkahwinan Lindboe dengan tunangnya, Pal Sandvid, yang dijadual berlangsung pada hari sama terpaksa ditunda susulan berita kemangkatan baginda, menurut pengesahan penasihat politiknya kepada BBC.
Dalam satu hantaran penghormatan di Instagram, Lindboe menyifatkan pemergian Raja Harald sebagai kehilangan besar buat negara itu.
“Sukar untuk membayangkan Oslo dan Norway tanpa kehadiran anda. Anda tidak memerlukan mahkota untuk menjadi seorang raja,” tulisnya.
Raja Harald V yang memerintah selama 35 tahun mangkat di hospital kebangsaan di ibu negara Norway, ketika menerima rawatan bagi masalah darah yang jarang berlaku.
Susulan itu, puteranya, Raja Haakon VIII, menaiki takhta pada Jumaat.
Dalam penghormatan sama, Lindboe berkata, walaupun kebanyakan rakyat Norway tidak pernah bertemu Raja Harald secara peribadi, mereka tetap merasakan hubungan yang rapat dengan baginda.
“Walaupun majoriti rakyat Norway tidak pernah bertemu anda secara langsung, mereka tetap merasakan seolah-olah mengenali anda,” katanya.
Menurut penasihat politik Lindboe, tarikh baharu bagi majlis perkahwinan itu masih belum ditetapkan.
Lindboe mengumumkan pertunangannya dengan Sandvid pada Jun lalu selepas lima tahun menjalinkan hubungan.
Raja Harald dikenang sebagai pemimpin yang popular dan berjiwa reformis yang berjaya memodenkan institusi monarki Norway.
Baginda turut mencipta sejarah apabila mengahwini rakyat biasa, Ratu Sonja sekali gus memecahkan tradisi diraja ketika itu.
Sepanjang pemerintahannya, Raja Harald menjadi simbol perpaduan negara terutama ketika Norway berdepan detik-detik sukar.
Baginda mangkat sehari sebelum ulang tahun perkahwinannya yang ke-58 bersama Ratu Sonja.
Sejak berita kemangkatan diumumkan, orang ramai mula berkumpul di luar Istana Diraja Oslo untuk meletakkan bunga sebagai tanda penghormatan terakhir.
Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Store dalam ucapan khas yang disiarkan di televisyen berkata, negaranya “bersatu dalam kesedihan dan penghargaan” atas jasa Raja Harald serta menegaskan legasi baginda akan terus dikenang.
Sementara itu, Raja Britain, Raja Charles III, menyifatkan pemergian Raja Harald sebagai kehilangan seorang “sepupu yang dikasihi.”
Raja Harald V merupakan sepupu kedua kepada ibu Raja Charles III, mendiang Ratu Elizabeth II.
Raja Haakon VIII pula adalah keturunan generasi kelima kepada Ratu Victoria. - Agensi