Davos: Trump tiba dengan konvoi tujuh helikopter, kereta api memadai untuk Greta

Razak Chik
Januari 22, 2020 14:12 MYT
Cara kedatangan Thunberg dan Trump ke WEF juga seperti mewakili pandangan yang berbeza dalam kaedah menangani isu perubahan iklim. - Reuters/Twitter Greta Thunberg
PERTEMBUNGAN antara Presiden negara paling berkuasa di dunia dengan remaja paling popular penghidap Asperger jadi buah mulut persidangan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos pada Selasa.
Pertemuan 'jarak jauh' itu tidak melibatkan Trump atau Thunberg berkongsi satu pentas walaupun mereka berdua hadir di WEF ke-50.
Jika bertembung, suhu Davos (-4 darjah Celsius) pasti meningkat memandangkan kedua-dua individu itu saling berselisih pendapat tentang punca dan cara menangani pemanasan dunia.
Davos merupakan kali kedua remaja 17 tahun dan Presiden yang berpangkat datuk pada umur 73 tahun itu berada di acara yang sama tanpa bertegur sapa.
Pasti pemerhati ingat kembali pada Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada September tahun lepas di New York – bagaimana Greta menjeling dengan mata tajam dari jauh sementara Trump berlalu tanpa sebarang teguran. Thunberg tidak berusaha untuk bertemu Trump, sementara Trump seolah-olah tidak mengakui kehadiran Thunberg.
Di Davos kali ini, Thunberg mengambil bahagian dalam dua sesi pada sebelah pagi dan tengah hari sementara Trump muncul antara kedua-duanya.
Cara ketibaan Trump dan Thunberg ke Davos pada Selasa menjadi petunjuk pendirian masing-masing tentang isu pemanasan dunia.
Ketibaan Donald Trump – yang menimbulkan tajuk berita; “Jeeps, Jets and 7 Helicopters” – memberi gambaran 'Penafi Cuaca' (Climate Denier) yang tidak berganjak pendirian.
Greta pula menggunakan perkhidmatan kereta api – perjalanan yang memakan masa lebih 24 jam dari Stockholm termasuk hentian melalui Lausanne sebelum tiba di Davos.
Donald Trump menggunakan platform WEF di Davos untuk mendabik dada tentang keperkasaan ekonomi Amerika dan bermegah tentang pencapaian dirinya di pentas dunia.
Ucapannya dikira lebih dituju kepada rakyat Amerika memandangkan Trump mahu kekal Presiden berhadapan pemilihan Presiden AS ke-46 pada November.
Turut jadi kegusaran Trump adalah pendakwaan yang sedang berjalan di Dewan Senat tetapi tidak dihebohkan dalam ucapannya.
Greta pula terus gigih menempelak kalangan pemimpin dunia yang disifatnya sebagai kurang bersungguh-sungguh bertindak menyelamatkan dunia.
Dalam kalangan remaja yang diberi kebenaran berjalan kaki dari Lausanne untuk acara bantahan terdapat kumpulan berhias dan berwajah badut.
Apabila ditanya apa yang ingin mereka lakukan di Davos, dengan suara lantang mereka melaung; “Kami ingin bertemu dengan Raja Badut sebenar”. Tidak perlu sesiapa tanya siapa badut yang dimaksudkan mereka.
#Davos #Donald Trump #Forum Ekonomi Dunia #Greta Thunberg #Jeeps Jets and 7 Helicopters #perubahan iklim #pmanasan global #WEF