GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
DUNIA

Delegasi GSF Malaysia dijangka diterbangkan dari Ashdod dalam tempoh 48 jam

Farhan Hakimi 03/10/2025 | 14:15 MYT
Sani Araby berkata, langkah itu hasil usaha kerjasama kerajaan Malaysia dan Turkiye.- Gambar Astro AWANI
SEPANG: Proses penerbangan kesemua delegasi Malaysia yang ditahan dalam misi bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dari Ashdod, Israel akan berlaku dalam tempoh 48 jam.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim berkata, langkah itu hasil usaha kerjasama kerajaan Malaysia dan Turkiye.

"Dengan usaha yang telah dimainkan YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan juga pihak Turkiye iaitu Presiden Erdogan, SNCC menjangkakan fasa untuk menerbangkan mereka dari Ashdod akan berlaku dalam tempoh 48 jam lagi.

"Saya kira sikit masa lagi kita dapat jemput mereka bawa pulang berkemungkinan dari Ankara atau Istanbul, Turkiye (sebelum diterbangkan ke tanah air)," katanya dalam sidang media harian di Pusat Kawalan Sumud Nusantara, di sini pada Jumaat.

Tambahnya, keluarga delegasi Malaysia yang ditahan juga telah dijemput ke SNCC pada petang tadi untuk menghadiri sesi penerangan, taklimat dan perkembangan terkini.

Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiduddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).

Selain itu, Razali Awang (kapal Inana); pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar, Norazman Ishak (kapal Estrella); Zainal Rashid dan Ustaz Muhammad (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).

GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.




#Global Sumud Flotilla #SNCC #misi kemanusiaan #bantuan kemanusiaan