DUNIA

Delegasi Hamas tiba di Mesir, bincang pelanjutan gencatan senjata

Bernama 14/01/2026 | 09:38 MYT
Hamas memaklumkan perbincangan akan menjurus pada mempercepat peralihan kepada fasa kedua perjanjian gencatan senjata. - Gambar fail/ Reuters
ISTANBUL: Delegasi Hamas tiba pada Selasa di Kaherah bagi perbincangan dengan pegawai Mesir mengenai pelanjutan perjanjian gencatan senjata di Gaza, lapor Anadolu Ajansi

Hamas dalam kenyataan memaklumkan delegasi itu diketuai Khalil al-Hayya yang merupakan pemimpin kumpulan Palestin itu yang juga ketua perunding.

Perbincangan akan menumpukan pada melengkapkan tempoh gencatan senjata termasuk langkah yang tinggal dalam fasa pertama dan pembukaan semula sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir di kedua-dua arah, menurut kenyataan itu.

Hamas memaklumkan perbincangan akan menjurus pada mempercepat peralihan kepada fasa kedua perjanjian termasuk pembentukan jawatankuasa pentadbiran dan pengunduran Israel daripada Gaza sepenuhnya.

Menurut kenyataan itu, delegasi turut dijadualkan bertemu para pemimpin kumpulan Palestin untuk menilai semula perkembangan politik dan lapangan di Gaza serta wilayah Tebing Barat.

Pada November tahun lepas, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima pakai resolusi disokong Amerika Syarikat (AS) bertujuan menamatkan perang Israel ke atas Gaza termasuk membenarkan kerahan pasukan tentera antarabangsa sementara pada akhir 2027.

"Resolusi itu membayangkan Gaza ditadbir oleh kerajaan peralihan Palestin di bawah pengawasan "majlis keamanan" eksekutif, selaras cadangan dikemukakan Presiden AS Donald Trump.

Trump mengumumkan 20 perkara rancangan itu pada September yang menggariskan kerangka gencatan senjata termasuk pembebasan tawanan Israel, pengunduran Israel daripada Gaza, pembentukan pentabiran teknokrat Palestin dan kerahan pasukan tentara antarabangsa, selain seruan untuk Hamas meletakkan senjata.

Lebih 71,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 171,000 yang lain cedera di Gaza sejak Oktober 2023 akibat serangan tentera Israel.

-- BERNAMA




#Genosid Gaza #Hamas #gencatan senjata #Mesir