ISTANBUL: Deloitte Cyprus membantu oligarki Rusia Roman Abramovich menyembunyikan sekurang-kurangnya US$10 bilion dalam bentuk aset dan didakwa mengelak cukai berjuta-juta dolar melalui dokumen yang dipalsukan, menurut satu siasatan yang diterbitkan pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Siasatan bersama oleh BBC, The Bureau of Investigative Journalism (TBIJ), The Guardian dan Organised Crime and Corruption Reporting Project (OCCRP) membongkar lebih 1,000 rekod yang diundurkan tarikhnya melibatkan lebih 100 syarikat antara 1999 hingga 2013, termasuk dokumen yang digunakan untuk menyokong penyataan kewangan yang mengelirukan.
Dalam satu kes, dokumen yang ditukar tarikhnya itu menyebabkan aset bernilai lebih US$10 bilion yang dipegang oleh Electus Investments yang berpangkalan di Cyprus kelihatan seperti dimiliki oleh sebuah syarikat dengan nama yang sama di British Virgin Islands, sekali gus membolehkan pegangan itu terlepas daripada keperluan pendedahan awam
Dalam kes lain, akaun kewangan yang diluluskan oleh Deloitte tidak memasukkan hartanah mewah, kapal persiaran mewah dan jet peribadi bernilai US$672 juta milik syarikat Abramovich, Amiscan Investments, menurut siasatan berkenaan.
Penyiasat turut membongkar skim dakwaan elak cukai melibatkan kira-kira US$2 bilion yang dipegang oleh Kravin Investments. Dokumen yang diundur tarikhnya itu menyebabkan dana berkenaan kelihatan seperti milik syarikat luar pesisir lain, yang berpotensi membolehkan Kravin Investments mengelak cukai berjuta-juta dolar ke atas pendapatan faedah.
Peguam Abramovich menafikan beliau menyembunyikan aset, mengelak cukai atau secara sedar mengambil bahagian dalam pemalsuan tarikh berkenaan, sambil menegaskan beliau bergantung secara sah kepada penasihat profesional.
Deloitte Cyprus memaklumkan ia “bertindak mengikut undang-undang yang berkuat kuasa” dan tidak dapat mengulas mengenai surat-menyurat khusus yang bertarikh lebih 20 tahun lepas.
Siasatan itu tidak menemukan bukti penglibatan entiti Deloitte di luar Cyprus.
Abramovich, bekas pemilik Kelab Bola Sepak Chelsea, dikenakan sekatan oleh United Kingdom berikutan perang di Ukraine pada 2022 atas dakwaan hubungannya dengan Presiden Vladimir Putin.
-- BERNAMA-ANADOLU
TAG: Deloitte Cyprus, Roman Abramovich, aset, cukai, dokumen, Eropah