DUNIA

Demam berdarah virus disyaki punca kematian 6 orang di Ethiopia, WHO hantar pasukan pakar

Bernama 13/11/2025 | 20:45 MYT
Pasukan 11 pakar WHO akan membantu memperkukuh usaha pengawasan, ujian makmal, kawalan jangkitan dan rawatan klinikal sebagai tindak balas terhadap wabak yang disyaki itu. - Gambar fail Reuters
ISTANBUL: Wabak yang disyaki demam berdarah virus di selatan Ethiopia telah meragut enam nyawa, mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghantar pasukan pakar dan bekalan kecemasan untuk membantu menyiasat dan membendung wabak itu, lapor Anadolu Ajansi.

Enam orang, termasuk seorang doktor dan seorang jururawat meninggal dunia dalam kejadian disyaki akibat wabak itu di bandar Jinka, Zon Omo Selatan, lapor portal berita tempatan Addis Insight pada Khamis.

Selamu Tadesse, pengarah perubatan Hospital Besar Jinka berkata, dua pekerja kesihatan yang meninggal dunia itu merawat pesakit dengan simptom yang sama, mengaitkan risiko penularan melalui sentuhan rapat dengan pesakit.

Pasukan 11 pakar WHO akan membantu memperkukuh usaha pengawasan, ujian makmal, kawalan jangkitan dan rawatan klinikal sebagai tindak balas terhadap wabak yang disyaki itu, menurut kenyataan WHO pada Khamis.

Pihak berkuasa kesihatan Ethiopia sedang menyiasat dan meningkatkan respons mereka selepas kes disyaki di Wilayah Selatan Ethiopia dengan ujian makmal sedang dijalankan di Institut Kesihatan Awam Ethiopia untuk menentukan punca, katanya.

WHO menyediakan bekalan penting, termasuk peralatan perlindungan diri, bahan pencegahan jangkitan, khemah pengasingan yang boleh digunakan dan sokongan teknikal tambahan dan menyalurkan US$300,000 daripada Dana Kontingensi untuk Kecemasan bagi membantu negara Afrika Timur itu.

-- BERNAMA



#demam berdarah virus #jangkitan #wabak #ethiopia #WHO #kesihatan