Demi cinta, wanita rela kahwini kekasih sedang jalani hukuman penjara

Gempak
Ogos 15, 2023 08:50 MYT
Rakaman majlis perkahwinan pasangan itu pada 4 Ogos lalu. -TikTok
JAMBI: Kalau sudah namanya cinta, apa pun sanggup dilakukan.
Itu yang berlaku kepada seorang wanita di Jambi, Indonesia yang membuktikan ikatan kasih terhadap cinta hatinya dengan mengahwini lelaki berkenaan yang ketika itu menjalani hukuman penjara.
Berita tersebut menjadi viral selepas mereka melangsungkan majlis perkahwinan pada 4 Ogos lalu.
Rakaman majlis pernikahan tersebut kemudian dikongsikan oleh akaun TikTok Eko Putra milik pegawai penjara yang bertugas di sana.
Menerusi klip yang dikongsi Eko, pasangan tersebut ditemani oleh ibu bapa dan keluarga masing-masing.
Ibu pengantin lelaki dilihat tidak dapat menahan air mata dan menangis menyaksikan perkahwinan puteranya.
“Jujur terharu pertama kali melihat pernikahan berlangsung di penjara. Tidak ada ibu bapa yang mahu melihat anaknya berkahwin di sebalik tirai besi,” katanya.
Sementara itu, Eko ketika dihubungi laman berita Wolipop berkata, dia sebagai pegawai sentiasa meliputi kegiatan yang berlaku di tempat dia bertugas.
“Saya tersentuh dan membuat video karena menurut saya, itu pernikahan yang sangat jarang terjadi kerana dilakukan di saat mempelai lelakinya menjalani hukum dalam penjara,” katanya.
Dalam pada itu, Eko menambah, pesalah yang menikah itu menjalani hukuman di penjara selama 15 tahun. -Gempak
#kekasih jalani hukuman penjara #wanita kahwini banduan #Jambi Indonesia #pegawai penjara