Demokrat dedah dokumen baharu, Epstein sebut nama Trump berulang kali dalam e-mel peribadi

Jeffrey Epstein (kanan) yang kematiannya mencetuskan kontroversi global, dilaporkan menyebut nama Donald Trump beberapa kali dalam e-mel peribadi kepada rakan rapat dan seorang penulis yang berada dalam lingkaran Trump. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Jeffrey Epstein, pesalah seks yang kematiannya mencetuskan kontroversi global, dilaporkan menyebut nama Donald Trump beberapa kali dalam e-mel peribadi kepada rakan rapat dan seorang penulis yang berada dalam lingkaran Trump, menurut dokumen baharu yang didedahkan oleh Demokrat dalam Jawatankuasa Pemantauan Dewan.
E-mel berkenaan yang dihantar kepada Ghislaine Maxwell – rakan lama Epstein yang kemudian disabitkan kesalahan pemerdagangan seks – serta penulis Michael Wolff, mengandungi dakwaan bahawa Trump pernah meluangkan masa bersama seorang wanita yang digambarkan sebagai mangsa pemerdagangan seks Epstein.
Epstein turut menulis bahawa Trump “tahu tentang gadis-gadis itu”, merujuk kepada dakwaan bahawa Trump pernah mengusir Epstein dari kelab Mar-a-Lago kerana cuba ‘mencuri’ pekerja wanita di sana.
Dokumen itu diperoleh selepas Jawatankuasa Pemantauan menyaman estet Epstein awal tahun ini.
Trump tidak menghantar atau menerima sebarang e-mel tersebut, yang kebanyakannya berlaku sebelum beliau menjadi Presiden dan beliau tidak didakwa melakukan sebarang salah laku jenayah berkaitan Epstein atau Maxwell.
Jurucakap White House, Karoline Leavitt mengecam tindakan Demokrat mendedahkan e-mel itu dan mendkawa, ia cubaan “mencipta naratif palsu untuk memburukkan Presiden Trump.”
Beliau menyifatkan laporan tersebut sebagai usaha mengalih perhatian daripada pencapaian Trump.
Ahli Republikan dalam jawatankuasa mendakwa wanita yang dimaksudkan ialah Virginia Giuffre, salah seorang mangsa Epstein yang meninggal dunia April lalu dan menuduh Demokrat menyembunyikan namanya kerana beliau tidak pernah menuduh Trump melakukan salah laku.
Dalam bukunya, Giuffre menulis bahawa Trump bersikap mesra ketika mereka bertemu di Mar-a-Lago pada tahun 2000, tetapi tidak membuat sebarang dakwaan salah laku terhadap Trump.
Epstein sebelum ini menjalani hukuman penjara 18 bulan pada 2008 selepas mengaku bersalah atas tuduhan pelacuran melibatkan remaja bawah umur.
Beliau dibebaskan selepas 13 bulan, dan perjanjian hukuman ringan itu kemudian mencetuskan kritikan meluas.
Maxwell dalam satu temu bual awal tahun ini menegaskan, beliau “tidak pernah melihat Trump dalam situasi tidak wajar” dan menggambarkan Trump sebagai “seorang yang berhemah” ketika mereka bertemu dalam majlis sosial.
Hubungan Trump dengan Epstein kembali menjadi perhatian selepas Kongres mendesak kerajaan mendedahkan fail berkaitan Epstein, yang meninggal dunia dalam penjara pada 2019.
Usaha untuk mendapatkan lebih banyak dokumen kini sedang berjalan di Capitol Hill. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


