[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Denmark, Belanda sedia iktiraf Palestin secara bersyarat

Bernama 23/09/2025 | 09:30 MYT
Menteri Luar Denmark dan Belanda menyatakan kesediaan untuk mengiktiraf Negara Palestin dengan syarat tertentu, termasuk kemajuan dalam reformasi Pihak Berkuasa Palestin dan jaminan negara Palestin yang tidak bersenjata. - Gambar/ Reuters
ISTANBUL: Menteri Luar Denmark Lars Lokke Rasmussen dan Menteri Luar Belanda David van Weel pada Isnin menyatakan bahawa negara mereka bersedia mengiktiraf Negara Palestin dengan syarat tertentu, lapor Anadolu Ajansi (AA).


Ringkasan AI
  • Menteri Luar Denmark dan Belanda menyatakan kesediaan untuk mengiktiraf Negara Palestin dengan syarat tertentu, termasuk kemajuan dalam reformasi Pihak Berkuasa Palestin dan jaminan negara Palestin masa depan yang tidak bersenjata.
  • Belanda menekankan keperluan menamatkan konflik di Gaza dan perubahan situasi di Tebing Barat, serta menyatakan pengiktirafan akan dibuat sebagai sebahagian daripada proses politik yang perlu dimulakan segera.
  • Denmark menyifatkan perang di Gaza sebagai bencana kemanusiaan dan menegaskan bahawa peluasan penempatan haram serta ancaman pengilhakan oleh Israel menjadi cabaran utama kepada penyelesaian dua negara.


Rasmussen dan van Weel menyampaikan pendirian itu pada Persidangan Antarabangsa Peringkat Tinggi mengenai Penyelesaian Isu Palestin dan Pelaksanaan Penyelesaian Dua Negara, yang dianjurkan di bawah naungan PBB serta diketuai Perancis dan Arab Saudi.

Van Weel menegaskan keperluan untuk menamatkan "peperangan ngeri" di Semenanjung Gaza dan mengubah perkembangan di Tebing Barat yang semakin membimbangkan.

Beliau menyatakan bahawa Belanda telah mengambil langkah di peringkat nasional dan Eropah untuk cuba mengubah haluan tindakan Israel.

Menurutnya, sebuah pihak berkuasa Palestin yang sah dan demokratik dengan kawalan penuh ke atas wilayahnya adalah penting bagi penubuhan negara Palestin yang berdaya maju.

"Belanda akan mengiktiraf Negara Palestin pada peringkat seterusnya, sebagai sebahagian daripada proses politik yang perlu dimulakan sekarang," kata van Weel.

Sementara itu, Rasmussen berkata perang di Gaza telah membawa kepada "bencana kemanusiaan pada skala yang tidak tertanggung" dan menegaskan bahawa "Tel Aviv sedang memperluas operasi ketenteraannya."

Beliau menggesa Tel Aviv segera menamatkannya dan menukar haluan.

Katanya, penyelesaian dua negara semakin berdepan cabaran akibat peluasan penempatan haram Israel dan ancaman pengilhakan Gaza serta Tebing Barat.

"Kunci kepada pengiktirafan Negara Palestin tidak seharusnya lagi berada di tangan Israel.

"Kunci itu mesti berada di tangan rakyat Palestin," katanya.

Rasmussen juga berkata apabila lebih banyak kemajuan dicapai dalam agenda reformasi Pihak Berkuasa Palestin dan apabila terdapat jaminan bahawa negara Palestin pada masa depan akan "demilitarised" , Denmark akan mengiktiraf Negara Palestin.

-- BERNAMA




#Genosid Gaza #Belanda #Denmark #PBB