DUNIA

Denmark perkukuh kehadiran tentera di Greenland, tekankan peranan NATO dalam keselamatan Artik

Bernama 18/01/2026 | 22:50 MYT
Tentera Denmark mengadakan latihan militari bersama tentera Jerman dan Perancis di Kangerlussuaq, Greenland, pada September 2025. - Gambar fail/Reuters
LONDON: Denmark akan memperkukuh kehadiran tenteranya di Greenland dan memperluas latihan bersama sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai sebahagian daripada usaha lebih meluas untuk meningkatkan tanggungjawab perikatan itu terhadap keselamatan di Artik dan Atlantik Utara.


Ringkasan AI
  • Denmark akan memperkukuh kehadiran tenteranya di Greenland dan memperluas latihan bersama sekutu NATO bagi meningkatkan tanggungjawab perikatan terhadap keselamatan di Artik dan Atlantik Utara.
  • Beberapa negara Eropah seperti Jerman, Sweden, Norway, Perancis, dan United Kingdom telah mengumumkan penghantaran pegawai tentera ke Greenland atas permintaan Denmark untuk menyertai latihan 'Arctic Endurance'.
  • Presiden AS Donald Trump mengenakan tarif ke atas barangan dari Denmark dan beberapa negara Eropah sebagai tindak balas terhadap penolakan Denmark dan Greenland menjual wilayah Greenland serta menegaskan kedaulatan Denmark ke atas pulau tersebut.


Laporan Anadolu Ajansi yang memetik jurucakap Kementerian Pertahanan Denmark menyatakan bahawa wujud persefahaman bersama antara Denmark dan sekutunya bahawa NATO "mesti memikul tanggungjawab yang lebih besar" terhadap keselamatan di kawasan berkenaan.

"Oleh itu, kami akan memperkukuh kehadiran tentera kami di Greenland dan bekerjasama rapat dengan sekutu NATO bagi memastikan kehadiran yang lebih kekal serta lebih banyak latihan bersama di Artik," kata jurucakap itu dalam satu kenyataan bertulis.

Kenyataan kementerian itu menyusul selepas beberapa negara Eropah mengumumkan penghantaran pegawai tentera ke Greenland. Jerman, Sweden, Norway, Perancis dan United Kingdom pada awal minggu ini memaklumkan bahawa penempatan itu dibuat atas permintaan Denmark untuk menyertai kumpulan peninjau menjelang latihan "Arctic Endurance" yang dirancang.

Bagi kementerian itu, langkah ini merupakan kesinambungan semula jadi kepada peningkatan kehadiran dan aktiviti latihan yang telah dimulakan pada 2025.

"Tujuan menempatkan anggota tentera dan keupayaan ke Greenland adalah untuk meneruskan usaha sedia ada dalam melatih keupayaan perikatan NATO untuk beroperasi di bawah keadaan unik Artik," kata jurucakap itu.

Greenland, sebuah wilayah tadbir sendiri di bawah Kerajaan Denmark, telah menarik minat Amerika Syarikat (AS) disebabkan kedudukan strategiknya dan sumber mineral yang luas, selain kebimbangan terhadap peningkatan aktiviti Rusia dan China.

Presiden AS Donald Trump berulang kali menyatakan bahawa AS mesti memperoleh Greenland atas alasan keselamatan negara dan bagi menghalang Rusia atau China daripada menguasai wilayah itu.

Denmark dan Greenland bagaimanapun menolak cadangan untuk menjual wilayah itu dan menegaskan kedaulatan Denmark ke atas pulau berkenaan.

Pada Sabtu, Trump berkata Washington akan mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas barangan dari Denmark, Norway, Sweden, Perancis, Jerman, United Kingdom, Belanda dan Finland bermula 1 Feb.

Kadar tarif itu dilapor akan meningkat kepada 25 peratus pada Jun melainkan terdapat perjanjian bagi "pembelian lengkap dan menyeluruh ke atas Greenland".

Sebagai tindak balas, pemimpin Eropah menolak ancaman tarif Trump terhadap lapan negara terbabit dan mengulangi solidariti mereka bersama Denmark.

-- BERNAMA



#Greenland #NATO #tentera Denmark #keselamatan di Artik dan Atlantik Utara