[TERKINI] Kes Zara Qairina: JSJ Sahkan Pegawai Penyiasat Tidak Patuh SOP, Gagal Mohon Bedah Siasat – Ikuti Perkembangan Di Sini
DUNIA

Denmark sertai misi penghantaran bantuan udara ke Gaza

Agensi 12/08/2025 | 22:20 MYT
Bantuan kemanusiaan digugurkan dari udara di Semenanjung Gaza pada Sabtu lalu. - Gambar Reuters
COPENHAGEN: Denmark akan menyertai misi penghantaran bantuan kemanusiaan melalui udara ke Gaza, dalam operasi yang diselaraskan oleh Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), lapor media tempatan pada Selasa.

“Kami telah memutuskan untuk mengambil bahagian dalam misi penurunan bantuan udara ke Gaza,” kata Menteri Luar Denmark, Lars Lokke Rasmussen kepada penyiar awam DR.

Menurutnya, Israel telah memberi kebenaran untuk menggunakan ruang udaranya sehingga hujung Ogos.

Bagaimanapun, Rasmussen mengakui, kaedah itu “bukanlah cara paling berkesan” untuk menghantar bantuan kecemasan.

“Ia adalah penyelesaian kecemasan, tetapi inilah pilihan yang ada pada ketika ini,” katanya.

Menurut agensi berita Ritzau, UAE dan Jordan telah meminta bantuan Denmark bagi melaksanakan misi tersebut.

Bekalan bantuan akan dijatuhkan menggunakan pesawat C-130 yang akan terbang di ruang udara Gaza sekali atau dua kali sebelum 22 Ogos, namun Rasmussen tidak mendedahkan jumlah sumbangan Denmark.

Kebimbangan antarabangsa terhadap situasi di Gaza terus memuncak selepas 22 bulan perang yang tercetus berikutan serangan maut kumpulan militan Hamas terhadap Israel pada Oktober 2023.

Pakar dilantik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran Gaza sedang menuju ke arah kebuluran, manakala badan-badan antarabangsa sejak berbulan-bulan mengecam sekatan Israel terhadap pengedaran bantuan di wilayah berkenaan.

Negara-negara Barat termasuk Britain, Perancis dan Sepanyol turut bekerjasama dengan negara Timur Tengah untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan melalui udara ke wilayah Palestin itu. - Agensi



#bantuan udara #bantuan kemanusiaan #Denmark #kebuluran di Gaza