[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
DUNIA

Densus 88 tahan empat suspek pengganas berkaitan Daish di Sumatera

Bernama 08/10/2025 | 11:33 MYT
Suspek ditahan pada 3 dan 6 Okt kerana disyaki menyebarkan propaganda dan hasutan untuk melakukan tindakan keganasan melalui media sosial. - Gambar hiasan
JAKARTA: Unit khas antikeganasan Indonesia (Densus 88), menahan empat individu disyaki anggota kumpulan pengganas Jemaah Ansharut Daulah (JAD) yang mempunyai kaitan dengan Daish di Sumatera Barat dan Sumatera Utara.


Ringkasan AI
  • Unit antikeganasan Indonesia, Densus 88, menahan empat individu disyaki anggota Jemaah Ansharut Daulah (JAD) yang mempunyai kaitan dengan Daish, atas dakwaan menyebarkan propaganda dan hasutan keganasan melalui media sosial.
  • Rampasan termasuk jaket celoreng, helaian kertas berlogo Daish dan buku berkaitan penubuhan khilafah Islam, menunjukkan usaha radikalisasi masih aktif dalam talian.
  • Densus 88 menyeru masyarakat agar berwaspada terhadap kandungan radikal serta memantau persekitaran dan ahli keluarga bagi mencegah pendedahan kepada ideologi ekstremisme.


Suspek ditahan pada 3 dan 6 Okt kerana disyaki menyebarkan propaganda dan hasutan untuk melakukan tindakan keganasan melalui media sosial, menurut kenyataan Densus 88.

Suspek pertama ditahan di Padang, manakala tiga lagi masing-masing ditahan di Pesisir Selatan, Padang dan Tanjung Balai.

Unit antikeganasan itu turut merampas jaket celoreng, helaian kertas dengan logo Daish, serta tiga buku yang mempromosikan penubuhan khilafah Islam.

"Usaha radikalisasi di media sosial masih berleluasa. Orang ramai perlu sentiasa berwaspada terhadap semua bentuk provokasi dan kandungan berunsur radikal," menurut Densus 88.

Agensi itu juga menggesa masyarakat supaya memantau persekitaran masing-masing, termasuk aktiviti dan pergerakan ahli keluarga serta anak-anak, bagi mengelakkan pendedahan kepada ajaran radikal dalam talian.

Penahanan terbaharu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi mencegah tindakan keganasan pada peringkat awal dan memperkukuh ketahanan masyarakat terhadap ideologi ekstremisme, tambah Densus 88.

-- BERNAMA



#densus 88 #daish #Sumatera #jemaah ansharut daulah