Depoh simpanan minyak terbakar: 17 maut, 50 melecur

Agensi
Mac 4, 2023 01:02 MYT
Sekurang-kurangnya 17 orang dilaporkan maut sementara 50 lagi melecur dalam kejadian paip minyak terbakar di Depo Pertamina Plumpang, Jakarta Utara, pada Jumat malam. - Gambar REUTERS
JAKARTA: Sekurang-kurangnya 17 orang dilaporkan maut sementara 50 lagi melecur dalam kejadian paip minyak terbakar di Depoh Pertamina Plumpang, Jakarta Utara, pada Jumat malam.
Jumlah mangsa yang meninggal dunia dan cedera itu diperoleh berdasarkan data sementara yang dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Khusus Ibukota Jakarta awal hari ini.
Berdasarkan data yang dikeluarkan itu, 15 mangsa yang maut terdiri daripada orang dewasa sementara dua lagi ialah kanak-kanak, lapor portal-portal berita Indonesia.
Menurut laporan media tempatan juga, seramai 49 orang dewasa dan seorang kanak-kanak pula melecur atau mengalami kecederaan berikutan kebakaran itu.
Sehingga tengah malam tadi, petugas pemadam kebakaran masih memadamkan api di kawasan Depoh Pertamina Plumpang serta di kawasan pemukiman masyarakat sekitar.
Kebakaran tersebut berlaku sekitar pukul 8.11 waktu tempatan yang bermula selepas paip minyak di kawasan depo meledak.
Susulan itu, sebanyak 52 jentera dengan 260 anggota bomba dikerahkan untuk memadamkan api.
#depoh simpanan minyak #kebakaran #17 maut #50 cedera