NEW YORK: Amerika Syarikat mendesak Israel melindungi nyawa penduduk awam Palestin di Gaza, ini yang ditegaskan Timbalan Duta Amerika ke PBB, Robert Wood yang turut mendesak supaya rejim zionis menghapuskan semua halangan yang menyekat penghantaran bantuan ke wilayah itu.

Wood berkata penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan udara pada 26 Mei telah dipindahkan beberapa kali, telah mematuhi arahan pemindahan Israel dan mencari perlindungan di kem yang disediakan.

Bagaimanapun, alasan Israel bahawa kematian orang awam adalah satu kesilapan, berpotensi disebabkan oleh letupan sekunder yang tercetus dan serangan itu ditujukan kepada dua tentera kanan Hamas yang turut terkorban, tidak boleh diterima sama sekali.

“Kami telah menggesa Israel untuk berbuat lebih banyak untuk melindungi nyawa rakyat Palestin yang tidak bersalah dan menjalankan siasatan yang pantas, telus dan menyeluruh.

“Seperti yang telah kami katakan sebelum ini, Israel mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya terhadap Hamas.

"Tetapi Israel juga mempunyai kewajipan untuk melindungi orang awam.

"Hakikat bahawa pemimpin dan pejuang Hamas bersembunyi dalam kalangan orang awam tidak mengurangkan keperluan bagi Israel untuk menjalankan operasinya mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” tegas Wood.

Susulan itu, Wood menggesa supaya Israel melakukan lebih banyak tindakan bagi melindungi rakyat Palestin yang tidak bersalah di Gaza.

“Kami juga telah menekankan bahawa Israel mesti menghubungkan operasi ketenteraannya kepada strategi politik yang boleh memastikan kekalahan berkekalan Hamas, pembebasan semua tebusan, dan masa depan yang lebih baik untuk rakyat Palestin.

“Corak serangan yang menyebakan kecederaan awam yang ketara akibat insiden seperti serangan udara Ahad menjejaskan matlamat strategik Israel di Gaza,” katanya lagi.

Sementara itu, Algeria pada selasa dilaporkan mengemukakan draf kepada Majlis Keselamatan untuk mengarahkan Israel menghentikan serangan ketenteraannya di Rafah serta merta.

Draf itu juga menggariskan arahan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ), yang meminta Israel menamatkan serangan di Rafah.

Kementerian Kesihatan Gaza menganggarkan lebih 36,000 penduduk palestin terkorban dalam perang yang kini memasuki bulan ketujuh.