DUNIA

Dhaka catat kualiti udara paling buruk di dunia pagi ini

Bernama 04/12/2025 | 12:30 MYT
Hari ini, udara Dhaka diklasifikasikan sebagai "sangat tidak sihat", menunjukkan ancaman yang amat membimbangkan, menurut indeks AQI. - Foto REUTERS
DHAKA: Dhaka, ibu negara Bangladesh yang sesak, menduduki tempat pertama dalam senarai bandar dengan kualiti udara paling buruk dengan skor Indeks Kualiti Udara (AQI) sebanyak 296 pada 9.50 pagi waktu tempatan hari ini (4 Dis), lapor United News of Bangladesh (UNB).

Hari ini, udara Dhaka diklasifikasikan sebagai "sangat tidak sihat", menunjukkan ancaman yang amat membimbangkan, menurut indeks AQI. Kualiti udara sebegini berterusan sejak beberapa hari lalu.

Apabila nilai AQI bagi pencemaran zarah berada antara 50 dan 100, kualiti udara dianggap "sederhana" dan individu sensitif biasanya perlu mengehadkan aktiviti luar yang berpanjangan. Antara 101 dan 150, kualiti udara dianggap "tidak sihat untuk kumpulan sensitif"; antara 150 dan 200 adalah "tidak sihat"; antara 201 dan 300 dikatakan "sangat tidak sihat"; manakala bacaan 301 ke atas dianggap "berbahaya", yang boleh menimbulkan risiko kesihatan serius kepada penduduk.

Bandar Delhi dan Kolkata di India serta Lahore di Pakistan masing-masing menduduki tempat kedua, ketiga dan keempat dalam senarai itu, dengan skor AQI 278, 233 dan 199.

AQI ialah indeks bagi melaporkan kualiti udara harian, memberikan maklumat kepada orang ramai tentang tahap kebersihan atau pencemaran udara di sesuatu bandar dan kesan kesihatan yang mungkin perlu diberi perhatian.

AQI di Bangladesh adalah berdasarkan lima pencemar: zarah halus (PM10 dan PM2.5), nitrogen dioksida (NO2), karbon monoksida (CO), sulfur dioksida (SO2) dan ozon.

Dhaka lama bergelut dengan masalah pencemaran udara. Kualiti udaranya biasanya menjadi tidak sihat pada musim sejuk dan bertambah baik semasa musim monsun.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pencemaran udara dianggarkan membunuh tujuh juta orang di seluruh dunia setiap tahun, terutamanya akibat peningkatan kadar kematian daripada strok, penyakit jantung, penyakit paru-paru obstruktif kronik, kanser paru-paru dan jangkitan pernafasan akut.

-- BERNAMA


#Dhaka #kualiti udara paling buruk #udara sangat tidak sihat #Indeks Kualiti Udara AQI