WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengkritik Perdana Menteri Britain yang akan berundur, Keir Starmer, pada Isnin selepas pemimpin Parti Buruh itu mengumumkan peletakan jawatannya, sambil menyifatkan pengendalian isu tenaga dan imigresen sebagai “memberi kesan buruk” terhadap kedudukannya.
Trump berkata, Starmer telah “benar-benar mencederakan dirinya sendiri” susulan pendekatan terhadap dasar tenaga, imigresen serta hubungan dengan Washington.
“Saya fikir dia seorang yang baik,” kata Trump kepada pemberita dalam satu acara di Pejabat Oval, sebelum menuduh Starmer tersilap langkah dalam dasar tenaga Britain kerana gagal memanfaatkan sumber minyak di Laut Utara dan sebaliknya membenarkan penggunaan turbin angin secara meluas.
“United Kingdom membeli sebahagian besar tenaganya. Tahukah anda dari mana? Norway. Dari mana mereka mendapat minyak? Laut Utara,” katanya.
“UK sebenarnya memiliki bahagian Laut Utara yang lebih baik, tetapi mereka tidak mahu mengusahakannya atas alasan alam sekitar.”
Trump, yang sebelum ini meramalkan pengunduran Starmer dalam satu hantaran di Truth Social berkata, pemimpin Britain itu “boleh dianggap sebagai rakannya”, namun tidak memberikan sokongan mencukupi kepada AS dalam isu NATO dan konflik melibatkan Iran.
Kedua-dua pemimpin itu sebelum ini dilaporkan berbeza pendapat berhubung penggunaan pangkalan tentera Britain di Cyprus bagi melancarkan serangan ke atas Iran.
Trump menyuarakan rasa kecewa kerana Britain didakwa mengambil masa terlalu lama untuk meluluskan permintaan AS menggunakan Pangkalan RAF Akrotiri di Cyprus bagi menyerang sasaran Iran.
“Dia kata kita tidak boleh menggunakan pulau itu untuk mendarat. Itu kali pertama berlaku,” kata Trump sambil menambah bahawa Starmer akhirnya bersetuju, namun keputusan awal itu disifatkan sebagai “langkah yang buruk” dan “memberikan kesan negatif besar” terhadap dirinya.
“Saya doakan yang terbaik,” katanya.
“Tetapi dia ada dua masalah: tenaga dan imigresen - serta jenayah. Namun tenaga dan imigresen, itu yang benar-benar menjejaskan dirinya.”
Starmer pada Isnin mengumumkan beliau akan meletakkan jawatan sebagai pemimpin Parti Buruh, namun kekal sebagai Perdana Menteri bagi tempoh peralihan yang teratur, selepas berdepan tekanan berbulan-bulan daripada Ahli Parlimen partinya serta kemerosotan sokongan domestik susulan keputusan lemah dalam pilihan raya tempatan dan wilayah.
Ahli politik veteran Parti Buruh, Andy Burnham, bekas Datuk Bandar Greater Manchester, dijangka menjadi penggantinya selepas kembali ke Parlimen, sekali gus berpotensi menjadi Perdana Menteri ketujuh Britain dalam tempoh sedekad. - Agensi