DUNIA
Didakwa sudah meninggal dunia, ini reaksi Donald Trump...

Kata Trump, hanya kerana tidak mengadakan sidang media selama dua hari, khabar angin mengenai dirinya diputarbelitkan. - Gambar Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa menepis khabar angin mengenai keadaan kesihatannya, termasuk dakwaan beliau telah meninggal dunia, dengan menyifatkannya sebagai “berita palsu” ketika sidang media di White House.
Spekulasi itu tercetus selepas Trump, 79, yang merupakan individu tertua pernah dipilih sebagai Presiden AS, tidak membuat sebarang penampilan awam selama hampir seminggu.
Ketiadaan itu, ditambah pula dengan gambar tangan lebam serta buku lali yang kelihatan bengkak, mencetuskan pelbagai andaian di media sosial.
Malah, ada pengguna mendakwa White House menyembunyikan berita kematian Trump.Menjawab soalan wartawan Fox News, Peter Doocy, secara berseloroh bertanya “Bagaimana anda tahu anda sudah mati hujung minggu lalu?”, Trump ketawa lalu menjawab: “Itu berita palsu.”
Trump menjelaskan, beliau hanya tidak mengadakan sidang media selama dua hari, tetapi khabar angin terus diputarbelitkan.
“Ia berita palsu. Mereka kata, ‘ada sesuatu tak kena dengannya? Dia sakit? Apa yang berlaku?’” katanya.
Walaupun tiada acara rasmi selama enam hari berturut-turut, Trump dilihat bermain muzik di Rose Garden, selain beberapa kali keluar bermain golf sepanjang cuti panjang Hari Buruh di AS.
“Saya sangat aktif sepanjang hujung minggu,” tegasnya.
Isu kesihatan Trump kembali diperkatakan apabila tangan kanannya dilihat ditutup dengan solekan tebal.
Tanda pagar #trumpdead juga kekal trending di platform X pada Selasa.
Pada Julai lalu, White House menjelaskan, perubahan warna pada tangan kanan Trump berpunca daripada kerengsaan tisu akibat terlalu kerap berjabat tangan serta penggunaan aspirin sebagai rawatan kardiovaskular standard.
Sementara bengkak di kaki Presiden AS itu pula dikaitkan dengan masalah vena kronik yang lazim dan tidak berbahaya.
Dalam kenyataan rasmi, doktor Presiden, Sean Barbabella menegaskan, Trump kekal berada dalam keadaan sihat.
Bahkan, Trump sendiri sering mendakwa beliau memiliki tahap kecergasan dan tenaga yang tinggi, malah pentadbirannya pernah menyiarkan gambar yang menggambarkan dirinya sebagai Superman.
Kesihatan Presiden Amerika sering menjadi perhatian, khususnya sejak White House diterajui dua pemimpin tertua dalam sejarah – Joe Biden dan kini Trump.
Biden, yang berusia 82 tahun ketika meninggalkan jawatan pada Januari lalu, turut berdepan isu kesihatan sehingga terpaksa menarik diri daripada kempen penggal kedua selepas prestasi hambar dalam debat menentang Trump. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami