DUNIA
Dihimpit kebuluran, rakyat Sudan terpaksa makan rumput dan tumbuhan liar untuk terus hidup

Agihan makanan oleh Program Makanan Sedunia (WFP) kepada pelarian dalam negara di kem ladang Wad Almajzoub, Wad Medani, Gezira, Sudan. - Gambar fail AP
KAHERAH: Ketika perang terus membelenggu Sudan dan jutaan rakyatnya bergelut mendapatkan makanan, ramai kini bergantung kepada rumput serta tumbuhan liar sebagai pengalas perut.
Tumbuhan itu direbus bersama garam - kerana itu sahaja yang tinggal untuk dimakan.
Bagi seorang bekas guru berusia 60 tahun, tumbuhan yang digelar Khadija Koro menjadi penyelamat hidup.
Dia malah menzahirkan penghargaan menerusi puisi cinta, menyifatkan tumbuhan itu sebagai “penawar yang menyelinap dalam ruang ketakutan” dan menyelamatkannya bersama ramai lagi daripada kebuluran.Lelaki berkenaan, dikenali sebagai A.H. yang enggan mendedahkan identiti sepenuhnya kerana bimbang tindakan balas oleh pihak yang bertelagah, adalah antara 24.6 juta penduduk Sudan yang kini berdepan tahap kebuluran teruk - hampir separuh daripada keseluruhan populasi, menurut Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC).
Menurut pekerja bantuan kemanusiaan, peperangan telah menyebabkan harga makanan melonjak, bantuan sukar disalurkan dan kawasan pertanian semakin berkurangan di negara yang dahulunya dikenali sebagai “gedung makanan dunia.”
Sudan terjerumus ke dalam kancah perang sejak April 2023, apabila ketegangan antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF), meletus menjadi pertempuran berskala penuh yang bermula di ibu kota Khartoum dan merebak ke seluruh negara.
Lebih 20,000 nyawa terkorban, hampir 13 juta menjadi pelarian, dan berjuta lagi kini di ambang kebuluran – menjadikannya krisis kebuluran terbesar dunia ketika ini.
Kawasan paling terjejas dan sekatan bantuan
Antara kawasan paling teruk terjejas adalah wilayah Kordofan, Pergunungan Nuba dan Darfur termasuk El Fasher dan kem pelarian Zamzam - yang kini tidak dapat diakses oleh Majlis Pelarian Norway, kata Mathilde Vu, petugas kemanusiaan yang berpangkalan di Port Sudan.
Ada penduduk hanya mampu makan satu hidangan sehari - selalunya bubur.
Di Darfur Utara, ada yang terpaksa menghisap arang demi menahan lapar.
Pada Jumaat, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menghubungi Ketua Tentera Sudan, Jeneral Abdel-Fattah Burhan, bagi memohon gencatan senjata selama seminggu di El Fasher bagi membolehkan bantuan disampaikan.
Burhan bersetuju, menurut kenyataan pihak tentera, namun tidak dapat dipastikan sama ada RSF akan mematuhi gencatan itu.
Menurut A.H., bantuan yang tiba hanya memberikan kelegaan sementara. Isteri dan anak-anaknya yang tinggal di Obeid juga terpaksa bergelut mendapatkan makanan kerana harga di pasaran terlalu tinggi.
Kekangan perjalanan, gaji tertangguh
A.H. tidak dapat ke Obeid di Kordofan Utara kerana laluan ditutup oleh RSF. Kekerasan dan kejadian rompakan menjadikan perjalanan terlalu berbahaya.
Penduduk terpaksa berkurung di kawasan kejiranan masing-masing - sekali gus menyukarkan akses kepada makanan.
A.H. sepatutnya menerima pencen daripada kerajaan, tetapi prosesnya terlalu perlahan.
Kini, dia hanya mampu menghantar sekitar AS$35 seminggu kepada keluarganya hasil kerja sementara – jumlah yang amat tidak mencukupi.
Di Kordofan Selatan pula, seorang penduduk Kadugli, Hassan berkata, negeri itu kini ibarat “penjara besar” buat rakyat biasa kerana kekurangan makanan, air bersih, tempat tinggal, pendapatan dan rawatan kesihatan - ekoran kepungan RSF.
Organisasi antarabangsa dan tempatan juga dihalang daripada beroperasi oleh kerajaan tempatan, dakwa Hassan yang juga tidak mahu nama penuhnya disiarkan.
Lantas, ramai terpaksa makan tumbuhan liar kerana terdesak.
Harga makanan melambung tinggi
Menurut Vu, masalah ketidakmampuan membeli makanan juga semakin meruncing apabila harga di pasaran terus meningkat.
Kekurangan wang tunai menyebabkan Majlis Pelarian Norway menggantikan bantuan kewangan dengan baucar.
Hassan pula berkata, pasaran dikuasai pihak berkuasa dan bekalan asas seperti jagung, tepung gandum, gula dan garam hanya boleh dibeli melalui kelulusan keselamatan.
Sementara itu, di Nyala, ibu negeri Darfur Selatan - penduduk cuba menanam tanaman sendiri.
Namun, kawasan pertanian semakin mengecil akibat konflik dan kekurangan sumber seperti benih dan jentera.
Hawaa Hussein, nenek yang dipindahkan ke kem El Serif sejak 2004 berkata, keluarganya mengharapkan musim hujan untuk bercucuk tanam, tetapi kekurangan keperluan asas menyukarkan mereka menanam kacang, bijan, gandum dan weika (bendi kering).
Hawaa yang tinggal bersama lapan ahli keluarga, menerima bantuan makanan setiap dua bulan yang mengandungi lentil, garam, minyak dan biskut.
Kadangkala dia terpaksa membeli tambahan dari pasar dengan bantuan pemimpin komuniti.
"Ramai keluarga dalam kem ini. Saya sendiri menjaga lima anak, jadi bantuan memang tak cukup untuk semua. Lagipun, tak sampai hati nak makan jika jiran juga sedang kelaparan," katanya.
Kem El Serif menempatkan hampir 49,000 pelarian, termasuk lebih 5,000 yang baru tiba sejak perang tercetus tahun lalu – kebanyakannya dari kawasan Khartoum.
"Makanan yang sampai ke kem ini cuma 5 peratus daripada keperluan sebenar. Ramai perlukan pekerjaan dan pendapatan. Kini hanya makan dua kali sehari – dan ada yang langsung tidak mampu beri anak makan," kata pemimpin komuniti, Abdalrahman Idris.
Zamzam: “Ibarat hukuman mati”
Di Darfur Utara, terletaknya Kem Zamzam - antara kawasan paling teruk dilanda kebuluran dan keganasan.
Seorang petugas kecemasan yang pernah berkhidmat di kem itu berkata, serangan terbaharu mengorbankan ramai dan menyebabkan sebahagian besar kehilangan tempat tinggal.
Hampir tiada sesiapa mampu membeli makanan di pasaran - dengan harga sekilogram gula mencecah 20,000 paun Sudan (AS$33), manakala seketul sabun pula 10,000 paun Sudan (AS$17).
Krisi kemanusiaan yang semakin teruk memaksa petugas itu melarikan diri.
Beberapa warga emas, wanita hamil dan kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat kelaparan dan ketiadaan rawatan, namun jumlah tepat tidak dapat dipastikan.
Katanya, keadaan di Kem Zamzam pula kini “seperti banduan yang sedang menunggu hukuman mati.” - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami