Skip to main content

Dunia

Diplomat bebas Niculescu dilantik Perdana Menteri Romania

Niculescu menyampaikan ucapan di Istana Cotroceni, Bucharest, Romania, 5 Okt 2026. REUTERS
Niculescu menyampaikan ucapan di Istana Cotroceni, Bucharest, Romania, 5 Okt 2026. REUTERS

Advertisement

BUCHAREST: Parlimen Romania memilih diplomat bebas Luca Niculescu sebagai Perdana Menteri pada Selasa, dengan 280 Ahli Parlimen menyokong manakala 58 lagi menentang, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik media Romania.

Sekurang-kurangnya 233 undi diperlukan. Kumpulan parlimen daripada pakatan pertengahan kiri dan pertengahan kanan menyediakan majoriti yang diperlukan itu.

Pemilihan Niculescu, 55, membolehkan Romania kembali mempunyai kerajaan yang berfungsi selepas lebih lima bulan. Pendahulunya, Ilie Bolojan daripada Parti Liberal Kebangsaan (PNL) berhaluan pertengahan  kanan, disingkirkan pada Mei menerusi undi tidak percaya dan sejak itu hanya bertindak sebagai pemangku perdana menteri.

Bolojan dilihat sebagai seorang reformis berpendirian tegas yang memperkenalkan beberapa langkah pengetatan perbelanjaan bagi mengurangkan defisit belanjawan Romania yang tinggi. Langkah-langkah itu tidak popular di dalam negara tetapi mendapat pujian daripada Kesatuan Eropah (EU) dan pihak antarabangsa lain.

Parti Demokrat Sosial (PSD), yang merupakan sebahagian daripada gabungan kerajaan, bersama-sama parti haluan kanan tegar dan pro-Rusia, Alliance for the Union of Romanians (AUR), telah bergabung tenaga untuk menjatuhkan Bolojan.

Niculescu berkhidmat sebagai Duta ke Perancis dari 2016 hingga 2022 dan jawatan terbaharunya ialah Setiausaha Negara di Kementerian Luar. Beliau kini mengetuai kerajaan minoriti yang didominasi oleh PSD. Daripada 18 menterinya, 12 daripadanya berasal daripada Parti Demokrat Sosial, manakala enam lagi merupakan teknokrat bebas.

PNL menyokong pelantikannya sebagai perdana menteri tetapi parti itu menganggap dirinya sebagai parti pembangkang. Niculescu perlu mendapatkan sokongan majoriti di parlimen bagi setiap rang undang-undang.

Undian pada Selasa merupakan percubaan kali keempat untuk memilih pengganti Bolojan. Tiga calon terdahulu sama ada gagal di parlimen atau menarik diri terlebih dahulu.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement