RAMALLAH/ISTANBUL: Palestin pada Sabtu menggesa agar masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera susulan serangan pendatang haram Israel terhadap diplomat Eropah dan wakil gereja di Tebing Barat yang diduduki, lapor Anadolu Ajansi.
Palestin menyifatkan insiden itu sebagai satu lagi bukti "keganasan terancang oleh pendatang haram Israel".
Kementerian Luar Palestin memaklumkan bahawa pendatang haram Israel bertindak mendatangi satu delegasi berhampiran bandar Taybeh, di timur Ramallah, yang turut disertai konsul Perancis dan Belgium, seorang wakil dari Poland serta pegawai Gereja Katolik.
Menurut kementerian itu, serangan berkenaan turut melibatkan tindakan kekerasan terhadap seorang datuk bandar dari Perancis serta kerosakan pada sebuah kenderaan konsul Belgium.
Kementerian itu menuduh kerajaan Israel melindungi penyerang dan mewujudkan suasana yang membolehkan mereka terlepas daripada hukuman, sambil menggesa masyarakat antarabangsa mengambil langkah konkrit bagi melindungi rakyat Palestin dan wakil asing serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Rakaman yang disiarkan media Israel menunjukkan pendatang haram Israel yang bertopeng membawa kayu dan batu serta mengancam penumpang kenderaan delegasi itu, dengan satu daripada kenderaan berkenaan mengalami kerosakan pada cermin tingkap.
Radio tentera Israel melaporkan tujuh penyerang bertopeng tiba dengan kenderaan pacuan empat roda, mengepung sebuah kereta diplomatik dan meminta pengenalan diri daripada penumpangnya sebelum memecahkan cermin tingkap sebuah kenderaan konsul Belgium.
Menurut radio itu, walaupun menerima maklumat mengenai lokasi delegasi serta rakaman kejadian dalam tempoh beberapa minit, tentera dan polis Israel hanya tiba di lokasi tiga jam kemudian.
Tentera Israel menyifatkan serangan itu sebagai "insiden keganasan serius", namun mendakwa delegasi berkenaan tidak menyelaraskan lawatannya terlebih dahulu dan tiada anggota tentera berada di lokasi kejadian.
Naib Presiden Palestin Hussein al-Sheikh menyifatkan serangan itu sebagai contoh keganasan yang dihadapi rakyat Palestin setiap hari dan mendesak tindak balas tegas daripada masyarakat antarabangsa.
Serangan pendatang haram Israel semakin meningkat sepanjang musim menuai buah zaitun yang bermula awal bulan ini.
Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan Palestin melaporkan sebanyak 40 serangan dan pelanggaran oleh tentera serta pendatang haram Israel terhadap petani, tanah pertanian dan tanaman zaitun pada Sabtu.
-- BERNAMA-ANADOLU