RAMALLAH: Sekumpulan diplomat Eropah dilaporkan diserang peneroka Israel bertopeng ketika melawat kampung Taybeh di Tebing Barat yang diduduki bagi meninjau keadaan penduduk Palestin yang berdepan serangan berulang ketika musim menuai zaitun.
Delegasi itu terdiri daripada diplomat Belgium, Perancis, Poland dan wakil Gereja Katolik.
Menurut kerajaan Belgium, peneroka terbabit menghalang konvoi diplomat dan membaling batu ke arah kenderaan mereka, menyebabkan sebuah kenderaan konsulat Belgium mengalami kerosakan.
Menteri Luar Belgium, Maxime Prevot, mengutuk serangan itu dan menggesa Israel membawa pelaku ke muka pengadilan serta menjamin keselamatan diplomat, wartawan dan penduduk Palestin.
Perancis dan Poland turut mengecam kejadian tersebut, manakala Kesatuan Eropah (EU) menggesa Israel mengambil langkah berkesan bagi menghentikan keganasan terhadap penduduk Palestin.
Tentera Israel (IDF) dalam satu kenyataan mengutuk serangan itu dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menggesa orang ramai tidak membuat kesimpulan awal dan berkata siasatan masih diteruskan oleh pihak berkuasa.
Insiden itu berlaku sehari selepas beberapa penduduk Palestin dan seorang jurugambar akhbar Amerika Syarikat dilaporkan cedera dalam satu lagi serangan yang didakwa dilakukan peneroka Israel di lokasi berasingan di Tebing Barat.