DUNIA

Diplomat tertinggi Vatican kecam "pembunuhan beramai-ramai" di Gaza

Astro Awani 06/10/2025 | 21:50 MYT
Parolin (kanan) menyeru agar semua pihak menghentikan keganasan dan menegaskan bahawa komuniti antarabangsa telah gagal bertindak secara berkesan. - Foto REUTERS
VATICAN CITY: Setiausaha Negara Vatican, Kardinal Pietro Parolin, mengutuk keras keganasan berterusan di Gaza, menyifatkan jumlah korban sebagai “pembunuhan beramai-ramai yang tidak boleh diterima” dan menolak anggapan bahawa kematian orang awam hanyalah “kerosakan sampingan”.


Ringkasan AI
  • Kardinal Pietro Parolin menyifatkan kematian besar-besaran di Gaza sebagai "pembunuhan beramai-ramai yang tidak boleh diterima" dan menolak anggapan bahawa korban awam hanyalah "kerosakan sampingan".
  • Parolin menggesa semua pihak menghentikan keganasan serta mengecam peningkatan sentimen antisemitisme yang disifatkan sebagai "barah" yang memburukkan keadaan.
  • Vatican menyambut baik demonstrasi global pro-Gaza dan menegaskan sokongan terhadap penyelesaian damai yang melibatkan suara rakyat Palestin secara adil dan bermaruah.


Dalam satu temu bual bersama media Vatican sempena ulang tahun kedua serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, Parolin menyatakan keprihatinan mendalam terhadap penderitaan rakyat Palestin, khususnya kanak-kanak yang “tidak bersalah selain dilahirkan di sana”.

“Kita berisiko menjadi tidak sensitif terhadap pembunuhan beramai-ramai ini,” kata Parolin.

“Tidak boleh dan tidak wajar merendahkan nilai manusia kepada sekadar ‘kerosakan sampingan’.”

Beliau turut mengecam peningkatan sentimen antisemitisme yang timbul akibat konflik, menyifatkannya sebagai “barah” yang hanya akan memperluas rantai kebencian.

Parolin menyeru agar semua pihak menghentikan keganasan dan menegaskan bahawa komuniti antarabangsa telah gagal bertindak secara berkesan.

Menurut angka rasmi dari pihak berkuasa kesihatan Gaza, lebih 67,000 rakyat Palestin telah terbunuh sejak serangan balas Israel bermula, manakala serangan Hamas pada 2023 mengorbankan lebih 1,200 nyawa di Israel.

Parolin menyambut baik demonstrasi global yang menyokong Gaza, menyatakan bahawa ia membuktikan “kita tidak ditakdirkan untuk terus berdiam diri”.

Vatican, yang secara rasmi mengiktiraf negara Palestin sejak sedekad lalu, terus menyeru penyelesaian damai yang melibatkan suara rakyat Palestin dalam menentukan masa depan mereka.






#Pietro Parolin #pembunuhan beramai-ramai #Gaza #Israel