INTERNATIONAL
Disney rancang taman tema pertama di Asia Barat
Projek The Walt Disney Company dan Miral di Pulau Yas itu disasarkan untuk menjadi "hab hiburan keluarga global". - Ilustrasi oleh Walt Disney / thewaltdisneycompany.com
BEIRUT: The Walt Disney Company dan Miral, pemaju terkemuka di Abu Dhabi, pada Rabu mengumumkan rancangan untuk membina sebuah taman tema dan resort Disney baharu di Pulau Yas, sekali gus menjadikannya destinasi global ketujuh Disney dan yang pertama di Asia Barat.
Menurut kenyataan bersama kedua-dua pihak, resort baharu itu akan terletak di kawasan tepian air pulau berkenaan dan akan menggabungkan kisah serta watak ikonik Disney dengan kekayaan warisan budaya dan seni bina moden Abu Dhabi, lapor agensi berita Jerman dpa.
Projek itu disasarkan untuk menjadi "hab hiburan keluarga global", menurut kenyataan itu.
Ia turut memaklumkan bahawa Miral akan membangunkan dan mengendalikan resort berkenaan sepenuhnya, manakala pasukan Disney Imagineers akan menerajui reka bentuk kreatif dan memberikan pengawasan operasi.
Destinasi itu akan menampilkan tarikan bertema, restoran dan kedai, serta penginapan yang diinspirasikan daripada penceritaan Disney.
"Resort ini akan membawa identiti asli Disney dan pada masa sama mencerminkan keunikan Emiriah," kata Ketua Pegawai Eksekutif Disney, Robert A. Iger.
Pengerusi Miral, Mohamed Khalifa Al Mubarak pula berkata projek itu "mencerminkan kekuatan kepimpinan berwawasan dan akan mencipta satu dunia baharu penuh imaginasi."
--BERNAMA-dpa