DUNIA

Dodgers halang ejen imigresen masuk stadium LA di tengah protes antipenguatkuasaan

Astro Awani 21/06/2025 | 00:00 MYT
Dodgers dijangka mengumumkan inisiatif sokongan kepada komuniti imigran terjejas, namun kenyataan rasmi ditangguhkan berikutan insiden tersebut. - Foto AP
LOS ANGELES: Pasukan besbol Los Angeles Dodgers mengesahkan bahawa mereka telah menolak permintaan ejen imigresen untuk memasuki kawasan Stadium Dodger, ketika protes terhadap tindakan penguatkuasaan imigresen semakin memuncak di bandar ini.
Menurut kenyataan rasmi kelab, pegawai dari Jabatan Imigresen dan Kastam (ICE) hadir pada pagi Khamis dan memohon akses ke kawasan tempat letak kereta stadium, namun permintaan tersebut ditolak.
“Ejen ICE datang ke Stadium Dodger dan memohon akses ke kawasan parkir. Permintaan itu tidak dibenarkan oleh pihak pengurusan,” menurut kenyataan itu.
Namun begitu, ICE menafikan sebarang kehadiran anggotanya di lokasi tersebut.
Sementara itu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) menjelaskan bahawa kenderaan yang dilihat di sekitar stadium adalah milik Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP), dan kehadiran mereka “tidak berkait dengan sebarang operasi atau aktiviti penguatkuasaan”.
Insiden ini berlaku tatkala protes berskala besar tercetus di Los Angeles, membantah peningkatan operasi imigresen oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.
Lebih 100 penunjuk perasaan berhimpun di luar stadium menjelang perlawanan menentang San Diego Padres, membawa sepanduk bertulis “ICE Out of LA” dan “No ICE in LA” menggunakan tipografi menyerupai logo Dodgers.
Pengurus pasukan, Dave Roberts, menyifatkan situasi tersebut sebagai “mengganggu”, manakala pemain seperti Kiké Hernández menzahirkan rasa kecewa melalui media sosial.
“Saya tidak sanggup melihat komuniti kami diserbu dan dihukum tanpa sebab,” tulisnya di Instagram.
Pihak berkuasa tempatan bertindak menutup beberapa pintu masuk stadium dan mengalihkan laluan kenderaan apabila penunjuk perasaan menyekat jalan menggunakan skuter elektrik.
Tiada tangkapan dilaporkan, namun ketegangan sempat memuncak sebelum keadaan kembali terkawal.
Dodgers dijangka mengumumkan inisiatif sokongan kepada komuniti imigran terjejas, namun kenyataan rasmi ditangguhkan berikutan insiden tersebut.
#Los Angeles Dodgers #stadium #ice #Imigresen