DUNIA

DOGE hasrat guna AI untuk hapus separuh peraturan persekutuan AS - Laporan

Bernama 27/07/2025 | 21:10 MYT
Matlamat utama inisiatif itu ialah untuk "melancarkan semula Amerika" menjelang 20 Jan 2026. - Gambar hiasan
WASHINGTON: Jabatan Kecekapan Kerajaan Amerika Syarikat (DOGE) merancang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengurangkan separuh daripada jumlah peraturan persekutuan menjelang ulang tahun pertama penggal kedua Presiden Donald Trump, lapor RIA Novosti yang memetik Washington Post, berdasarkan dokumen dan sumber dalaman.

Menurut laporan itu, DOGE membangunkan alat khas berasaskan AI untuk menganalisis sekitar 200,000 peraturan persekutuan bagi mengenal pasti peraturan yang boleh dimansuhkan kerana tidak lagi diperlukan dari segi undang-undang.

Berdasarkan slaid pembentangan yang diperoleh oleh Akhbar itu, kira-kira 100,000 peraturan dijangka dibatalkan melalui kaedah ini.

Matlamat utama inisiatif itu ialah untuk "melancarkan semula Amerika" menjelang 20 Jan 2026.

Inisiatif itu turut dijangka menjimatkan trilion dolar menerusi pengurangan peraturan dan bajet kerajaan persekutuan, di samping menarik lebih banyak pelaburan asing.

Alat AI itu dilaporkan telah digunakan untuk membuat keputusan terhadap 1,083 seksyen peraturan di Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar (HUD) dalam tempoh dua minggu.

Menurut dokumen dan pengesahan daripada tiga pegawai HUD yang dipetik oleh Washington Post, alat itu telah digunakan untuk menganalisis ratusan dan mungkin lebih seribu peraturan di agensi terbabit bagi tujuan pemansuhan atau pindaan.

Alat itu dibangunkan oleh jurutera sektor swasta yang menyertai perkhidmatan awam menerusi inisiatif pengurangan perbelanjaan kerajaan.

Selepas ujian awal di HUD, ia dijangka diperluas penggunaannya ke seluruh agensi kerajaan dalam beberapa bulan akan datang.

DOGE ditubuhkan oleh Presiden Donald Trump sebagai sebahagian daripada usaha reformasi kerajaan persekutuan, dengan objektif membanteras pembaziran dan merombak struktur pentadbiran.

Sebelum ini, Speaker Dewan Perwakilan AS, Mike Johnson turut mendedahkan bahawa DOGE mengenal pasti perbelanjaan kerajaan persekutuan yang "mengejutkan" dan tidak diluluskan oleh Kongres.

-- BERNAMA






#DOGE #teknologi AI #kecerdasan buatan #Donald Trump