Polis India sedang memburu dua lelaki yang menyamar sebagai doktor kerana membunuh seorang bayi lelaki yang baru lahir dengan memotong alat kelamin bayi berkenaan.

Tindakan dua lelaki berkenaan difahamkan bagi usaha meyakinkan ibu anak berkenaan bahawa bayi yang dilahirkan adalah seorang bayi perempuan.

Menurut polis, ketika wanita itu hamil lapan bulan, dia telah mendapatkan khidmat teknologi pengimbas, ultrasound di sebuah klinik palsu di daerah Chatra Timur, Jharkand.

Doktor yang menyamar itu mengatakan bahawa pembedahan segera perlu dilakukan.

Ketika anaknya dilahirkan, mereka mendapati bahawa anak itu lelaki dan bertindak memotong alat kelamin dan menyerahkan bayi itu kepada wanita tersebut.

Bayi berkenaan meninggal dunia kerana kehilangan darah yang banyak, lapor portal AFP.

Pesalah bakal didakwa kerana menjalankan klinik secara haram dan prosedur perubatan lain, selain tidak memiliki ijazah perubatan yang sah.

Kes pembunuhan dan penipuan telah difailkan terhadap dua lelaki berkenaan yang telah melarikan diri sejak Rabu.

Hakikatnya, ujian jantina prenatal telah diharamkan di India sebagai usaha mengelakkan pasangan suami isteri menggugurkan anak perempuan kerana terdesak mahukan anak lelaki.

Pengamal perubatan yang tidak memenuhi syarat juga biasa di India, terutamanya di kawasan luar bandar, di mana penjagaan kesihatan formal adalah terhad dan hospital swasta mengenakan caj yang mahal.