Doktor Tanpa Sempadan beri amaran penularan campak di Darfur, Sudan

Krisis kemanusiaan di Sudan semakin buruk sejak perang antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) tercetus pada April 2023. - AP
KHARTOUM: Doktor Tanpa Sempadan (MSF) pada Jumaat memberi amaran mengenai penularan campak yang semakin meningkat di wilayah Darfur, Sudan, selepas lebih 1,300 kes direkodkan sejak September 2025 di kemudahan kesihatan yang disokong organisasi itu, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut MSF dalam kenyataan, amaran berulang dikeluarkan mengenai keperluan melancarkan kempen vaksinasi kecemasan serta menyambung semula program imunisasi rutin.
Kelewatan penghantaran vaksin dan penangguhan berulang kempen vaksinasi reaktif menyebabkan kanak-kanak tiada perlindungan ketika wabak itu terus merebak, menurut MSF.
Krisis kemanusiaan di Sudan semakin buruk sejak perang antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) tercetus pada April 2023 susulan pertikaian mengenai penyatuan angkatan tentera.
Konflik itu meragut puluhan ribu nyawa dan menyebabkan kira-kira 13 juta orang kehilangan tempat tinggal.
MSF menggesa pihak berkuasa Sudan agar menghapuskan apa yang disifatkannya sebagai "halangan birokrasi dan pentadbiran" yang menghalang pengangkutan vaksin merentasi wilayah Darfur.
Pertubuhan itu juga menyeru UNICEF agar segera menyelaraskan usaha untuk meningkatkan penghantaran vaksin, picagari dan bekalan penting ke wilayah berkenaan.
Selain itu, MSF menggesa kementerian kesihatan peringkat negeri dan persekutuan agar segera melancarkan kempen vaksinasi campak serta memulihkan program imunisasi rutin.
Penyelaras kecemasan MSF di Darfur Ahmed Fadel berkata campak boleh dicegah melalui imunisasi rutin dan vaksinasi reaktif tepat pada masanya, namun kedua-duanya amat terhad akibat konflik, halangan pentadbiran dan kelewatan oleh agensi utama.
"Kelewatan ini menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada penyakit yang berpotensi membawa maut," kata Fadel.
Beliau berkata lebih 34 peratus pesakit di bandar Zalingei dan Nyala mengalami kekurangan zat makanan akut, yang memburukkan gejala campak dan boleh dengan cepat membawa kepada komplikasi mengancam nyawa, termasuk radang paru-paru dan ensefalitis.
Tiga negeri Kordofan iaitu Utara, Barat dan Selatan, menyaksikan pertempuran sengit selama beberapa minggu antara tentera dan RSF, memaksa puluhan ribu penduduk melarikan diri.
Daripada 18 negeri di Sudan, RSF menguasai kesemua lima negeri di wilayah Darfur di barat, kecuali beberapa kawasan utara di Darfur Utara yang masih berada di bawah kawalan tentera. Tentera pula menguasai sebahagian besar kawasan di baki 13 negeri di selatan, utara, timur dan tengah, termasuk ibu negara Khartoum.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


