DUNIA

Doktor Tanpa Sempadan kecam "pembunuhan terancang" di pusat agihan GHF

Bernama 07/08/2025 | 22:40 MYT
Orang ramai berduka di sisi jenazah rakyat Palestin yang terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan dari trak bantuan yang memasuki Gaza utara. - Foto fail/AP
GENEVA: Pertubuhan bantuan perubatan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) mengecam tahap "keganasan sistematik terhadap orang awam" di pusat agihan bantuan yang disokong Israel di Semenanjung Gaza, yang disifatkan sebagai antara paling buruk pernah disaksikan dalam tempoh 54 tahun operasinya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Dalam laporan yang dikeluarkan pada Khamis bertajuk "Ini Bukan Bantuan. Ini Pembunuhan Terancang", MSF berkata pihaknya merawat seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang cedera ditembak di bahagian dada dan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang cedera ditembak di perut, di dua klinik MSF berhampiran kemudahan yang dikendalikan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).

Kedua-dua mangsa dilaporkan cedera semasa beratur untuk mendapatkan makanan.

Menurut MSF, mangsa memberikan gambaran mengenai pengalaman di pusat agihan GHF sebagai satu bentuk layanan tidak berperikemanusiaan dan keganasan yang disasarkan, tidak mengenal mangsa, dan "amat membimbangkan."

Antara 7 Jun hingga 24 Julai, seramai 1,380 mangsa dibawa ke dua klinik MSF, termasuk 28 yang sudah meninggal dunia.

Dalam kalangan yang cedera, 71 adalah mereka di bawah umur, termasuk 25 berusia bawah 15 tahun. Kesemua mereka datang dari pusat agihan GHF yang sering menjadi lokasi kejadian tembakan.

Dalam tempoh 27 Julai hingga 3 Ogos pula, lebih 185 mangsa cedera dihantar ke klinik MSF dari kawasan berhampiran pusat GHF, termasuk mangsa yang mengalami luka tembakan di leher dan kepala.

MSF turut menggesa agar agihan bantuan oleh GHF dihentikan segera.

Menurut laporan itu, pasukan MSF bersedia dari segi mental untuk beroperasi dalam konflik, tetapi tidak untuk menyaksikan orang awam yang tidak bersenjata terbunuh atau cedera parah ketika cuba mendapatkan bantuan.

"Sepanjang hampir 54 tahun operasi MSF, jarang sekali kami menyaksikan tahap keganasan sistematik seperti ini terhadap orang awam tidak bersenjata," kata Ketua Pengarah MSF, Raquel Ayora.

-- BERNAMA






#MSF #Gaza #Israel #pembunuhan terancang