ISTANBUL: Badan kebajikan perubatan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) pada Selasa memaklumkan bahawa ia menutup sebuah hospital di pekan sempadan Tine di timur Chad susulan serangan oleh pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di bahagian sempadan Sudan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Tine terbahagi antara dua negara iaitu satu bahagian terletak di negeri North Darfur di barat jauh Sudan, manakala satu lagi berada di wilayah Wadi Fira, Chad. Sebuah lembah bermusim kecil dikenali sebagai “Ab Sun” memisahkan bahagian Sudan dan Chad.
Advertisement
Sejak dua hari lalu, tentera Sudan dan RSF bertempur di dalam dan sekitar Tine di barat Sudan ketika kumpulan separa tentera itu cuba memasuki bandar berkenaan dan mengukuhkan kawalan ke atas North Darfur.
MSF dalam satu hantaran di platform media sosial Facebook, memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan mengenai serangan bertalu-talu RSF ke atas Tine di Sudan berhampiran sempadan Chad pada Sabtu dan Ahad, sekali gus mendorong penutupan hospital di bahagian Chad dan pemindahan operasi ke bangunan hospital baharu yang belum digunakan.
Organisasi itu berkata ia mengurangkan jumlah kakitangan di Tine, Chad susulan keadaan keselamatan yang semakin merosot, sambil menyatakan yang penduduk di sepanjang sempadan berdepan serangan berulang serta pemindahan paksa.
Kumpulan itu menggesa agar petugas kesihatan dan pesakit dilindungi “walau apa pun keadaannya.”
Pada Isnin, Chad mengumumkan penutupan sempadannya dengan Sudan “sehingga dimaklumkan kelak,” dengan alasan pencerobohan dan pelanggaran berulang oleh pasukan Sudan yang bertelagah ke dalam wilayahnya.
Pengumuman itu dibuat dua hari selepas tentera Sudan dan pasukan gabungan sekutu di Darfur menangkis serangan RSF ke atas Tine.
Bulan lalu, kerajaan Chad mengecam serangan RSF di dalam wilayahnya yang mengorbankan tujuh anggota tentera dan mencederakan yang lain, menyifatkannya sebagai “pencerobohan tidak boleh diterima dan pelanggaran jelas, serius serta berulang” terhadap kedaulatan dan integriti wilayahnya.
RSF mengakui memasuki Chad dan bertempur dengan pasukannya, namun menyifatkan insiden itu sebagai tidak disengajakan dan satu kesilapan.
RSF kini menguasai empat daripada lima negeri di Darfur di barat Sudan, dengan sebahagian North Darfur masih berada di bawah kawalan tentera. Tentera pula mengekalkan pengaruh di kebanyakan negeri lain termasuk ibu negara, Khartoum.
Darfur merangkumi kira-kira satu perlima wilayah Sudan yang melebihi 1.8 juta kilometer persegi, manakala sebahagian besar daripada kira-kira 50 juta penduduk negara itu tinggal di kawasan di bawah kawalan tentera.
Sejak April 2023, RSF dan tentera Sudan bertempur susulan pertikaian berkaitan penggabungan pasukan separa tentera itu ke dalam angkatan tentera. Konflik itu mencetuskan keadaan kebuluran dalam apa yang dianggap antara krisis kemanusiaan terburuk di dunia, mengorbankan puluhan ribu nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.
-- BERNAMA-ANADOLU