Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Dokumen persiapan sidang kemuncak ditemukan dalam pencetak hotel Alaska - Laporan

Bernama 17/08/2025 | 07:18 MYT
okumen persiapan bagi sidang kemuncak antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin dijumpai dalam sebuah pencetak hotel di Anchorage. - Gambar fail/Reuters
ANCHORAGE (Alaska): Dokumen persiapan bagi sidang kemuncak antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin dijumpai dalam sebuah pencetak hotel di Anchorage, menurut laporan media AS, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).


Ringkasan AI
  • Dokumen persiapan sidang kemuncak Trump-Putin dijumpai dalam pencetak hotel di Anchorage, termasuk jadual, maklumat pegawai, dan menu makan tengah hari.
  • Dokumen turut mengandungi biografi peserta serta panduan sebutan nama Rusia seperti 'POO-tihn' untuk Putin.
  • Pakar keselamatan mengkritik insiden itu sebagai bukti kecuaian dan ketidakcekapan pentadbiran AS.


Rangkaian radio NPR melaporkan dokumen lapan muka surat itu ditemukan pada pagi Jumaat di pusat perniagaan Hotel Captain Cook, terletak kira-kira 20 minit pemanduan dari pangkalan tentera Elmendorf-Richardson, lokasi pertemuan kedua-dua presiden yang membincangkan perang Ukraine.

Dokumen yang turut disiarkan NPR itu mengandungi jadual terperinci dengan bilik mesyuarat khusus, nama dan nombor telefon pegawai Jabatan Negara AS, menu makan tengah hari yang dirancang, serta biografi ringkas dan foto peserta sidang kemuncak.

Menu makan tengah hari termasuk salad hijau, filet mignon dan ikan halibut dengan pencuci mulut creme brulee.

Turut ditemukan ialah panduan sebutan nama Rusia, termasuk "POO-tihn" bagi presiden Rusia.

Pakar keselamatan mengkritik insiden berkenaan.

"Ini bukti tambahan tentang sikap cuai dan ketidakcekapan pentadbiran.

"Perkara sebegini tidak boleh ditinggalkan dalam pencetak. Semudah itu," kata Jon Michaels, profesor undang-undang di UCLA, Los Angeles, kepada penyiar berkenaan.

-- BERNAMA





#dokumen sidang kemuncak #pencetak hotel Alaska #Donald Trump #Vladimir Putin