LONDON: Dokumentari bertajuk "Gaza: Doctors Under Attack" memenangi kategori Hal Ehwal Semasa pada Anugerah Televisyen Akademi Seni Filem dan Televisyen British (BAFTA TV Awards) 2026, setahun selepas penyiar awam BBC enggan menyiarkan naskhah berkenaan.
Karya terbitan Basement Films itu pada asalnya dibiayai dan ditempah oleh BBC, namun stesen penyiaran berkenaan kemudiannya memutuskan untuk tidak menayangkannya atas alasan kebimbangan terhadap persepsi berat sebelah yang didakwa boleh menjejaskan piawaian penyiaran syarikat itu.
Wartawan dokumentari berkenaan, Ramita Navai, menggunakan pentas anugerah itu untuk mengecam tindakan pengurusan BBC yang didakwanya cuba melakukan penapisan terhadap hasil siasatan mereka.
“Ini adalah penemuan siasatan kami yang dibiayai oleh BBC tetapi mereka enggan menyiarkannya.
"Namun kami enggan didiamkan dan ditapis,” katanya dalam ucapan penerimaan anugerah yang disambut tepukan gemuruh penonton di Royal Festival Hall, London, malam tadi.
Navai turut mendedahkan bahawa laporan itu mendapati lebih 1,700 doktor dan kakitangan perubatan Palestin terbunuh dalam serangan Israel, manakala kira-kira 400 lagi ditahan, dalam apa yang digelar oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai “medicide”, merujuk kepada serangan sistematik terhadap petugas kesihatan.
Penerbit eksekutif dokumentari tersebut, Ben De Pear, turut mempersoalkan keputusan BBC menyiarkan majlis anugerah itu dengan melewatkannya selama dua jam.
“Memandangkan anda (BBC) telah menggugurkan filem kami, adakah anda juga akan menggugurkan kami daripada tayangan BAFTA malam ini?” soal De Pear secara langsung di kamera.
Gaza: Doctors Under Attack wins a BAFTA Award
Executive Producer Ben de Pear, "Just a question for the BBC, given you that you dropped our film will you drop us from the BAFTA TV screening later on tonight?"
And guess what, they edited it to this shorter version pic.twitter.com/2dYBSEShWu— Farrukh (@implausibleblog) May 10, 2026
Dokumentari berkenaan akhirnya diambil alih dan disiarkan oleh Channel 4 pada Julai tahun lalu selepas hak penyiarannya dikembalikan kepada syarikat produksi bebas itu.
BBC sebelum ini menangguhkan penayangannya sementara menunggu semakan terhadap satu lagi dokumentari Gaza bertajuk "Gaza: How To Survive a War Zone" yang mencetuskan kontroversi.
Pihak pengurusan BBC mendakwa kenyataan Navai dalam satu temu bual terdahulu yang menyifatkan Israel sebagai “negara penyangak” turut mempengaruhi keputusan untuk tidak menyiarkan dokumentari tersebut, selaras dengan prinsip keberkecualian penyiar awam berkenaan.