Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Persuratan Kemanusiaan oleh Universiti Doshisha, Jepun bagi menghargai sumbangan beliau dalam menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang serta dedikasi kepada pendidikan.

Ijazah disampaikan oleh Presiden Universiti Doshisha, Takashi Matsuoka dalam majlis yang berlangsung di Amherst House Universiti Doshisha bersempena lawatan kerja tiga hari beliau di Kyoto.

Pada majlis penganugerahan ijazah doktor kehormat itu, Matsuoka menegaskan bahawa komitmen Dr Mahathir dalam mengukuhkan kedaulatan undang-undang yang menjadi asas kepada kemakmuran demokrasi dalam era serba mencabar kini.

Tambahnya ia sejajar dengan asas prinsip yang diperjuangkan oleh pengasas universiti itu 140 tahun lalu iaitu memupuk semangat dan nilai individu yang mampu menegakkan kerajaan berperlembagaan.

“Dedikasi Dr Mahathir terhadap pendidikan dan kedaulatan undang-undang adalah selari dengan ‘pendidikan hati nurani’ yang menjadi asas semangat Universiti Doshisha.

“Kini, kita boleh belajar banyak perkara tentang dasar pendidikan tinggi yang telah dilaksanakan oleh Dr Mahathir,” kata Matsuoka.

Dr Mahathir dalam ucapan selepas penganugerahan berkata beliau akan terus memperjuangkan kedaulatan undang-undang dan dedikasi terhadap pendidikan.


“Saya akan cuba untuk memenuhi penghargaan ini dengan melakukan semua tugas saya dengan penuh sikap kemanusiaan. Saya akan berkhidmat untuk negara saya dengan penuh sikap berperikemanusiaan,” katanya.

Ijazah kehormat tersebut diberikan kepada individu yang merekodkan pencapaian terbaik dalam kajian akademik, seni dan masyarakat di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Dr Mahathir merupakan penerima anugerah tersebut ke 68. Antara penerima terkemuka anugerah tersebut termasuk Pengasas Matsushita (kini Panasonic), Konosuke Matsushita dan Pakar Ekonomi serta pemenang Anugerah Nobel, Profesor Joseph Eugene Stiglitz.