Skip to main content

Dunia

Dua anggota bomba maut ketika padam kebakaran berhampiran Lapangan Terbang Bordeaux

Smoke rises near the Bordeaux-Merignac Airport in France, July 21, 2026, in this screengrab obtained from a social media video. @hichem33600/via REUTERS THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. MANDATORY CREDIT. NO RESALES. NO ARCHIVES. VERIFICATION: Reuters was able to verify the location through buildings, and light posts that matched satellite and archive imagery. Coordinates: 44.8311953, -0.7017427. The date was confirmed through original file metadata and corroborating media and eyewitness visual
Kepulan asap tebal kelihatan berhampiran Lapangan Terbang Bordeaux-Mérignac di Perancis susulan kebakaran besar yang berlaku di kawasan berkenaan. - Foto REUTERS
Advertisement

BORDEAUX: Dua anggota bomba maut ketika bertugas memadamkan kebakaran besar berhampiran Lapangan Terbang Bordeaux-Mérignac di barat daya Perancis, menurut pihak berkuasa negara itu.

Laporan media tempatan menyatakan kebakaran tersebut dipercayai bermula daripada kebakaran belukar sebelum merebak ke sebuah bangunan berhampiran kawasan parkir lapangan terbang.

Imej yang dikongsi di media sosial menunjukkan penumpang turun dari sebuah pesawat ketika kepulan asap tebal menjulang ke udara berhampiran lokasi kejadian.

Beberapa penerbangan yang dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Bordeaux-Merignac turut dilaporkan mengalami kelewatan.

Kira-kira 100 anggota bomba, dengan bantuan pesawat khas pemadam kebakaran, digerakkan bagi mengawal dan memadamkan kebakaran berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez, berkata beliau telah dimaklumkan mengenai kematian dua anggota bomba itu oleh pihak berkuasa di jabatan Gironde.

Ketika sesi soal jawab di Parlimen Perancis pada Selasa, Nunez berkata beliau akan berkunjung ke Gironde secepat mungkin bagi memantau operasi pemadaman kebakaran.

Gironde merupakan antara beberapa wilayah di Perancis yang terjejas teruk akibat kebakaran hutan sejak beberapa hari lalu susulan gelombang haba luar biasa dan berpanjangan yang melanda negara itu.

Dalam perkembangan berkaitan, satu lagi kebakaran besar tercetus pada hari sama di jabatan Var, di tenggara Perancis.

Image
A fire truck drives as French firefighters battle a wildfire in the Fox-Amphoux communal forest near Ponteves in the Var department, as drought conditions worsen following a heatwave and water shortages across much of France, July 21, 2026. REUTERS/Manon Cruz
Sebuah jentera bomba bergerak ke lokasi kebakaran ketika anggota bomba Perancis bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan di Hutan Komunal Fox-Amphoux berhampiran Ponteves, jabatan Var, ketika keadaan kemarau semakin buruk susulan gelombang haba dan kekurangan bekalan air yang melanda sebahagian besar Perancis. - Foto REUTERS

Persatuan sukarelawan pemantau kebakaran, PSFDF, memaklumkan kebakaran di komun Pontevès masih tidak terkawal dan merebak dengan pantas.

Menurut persatuan itu, seramai 600 anggota bomba dan penyelamat telah dikerahkan untuk membendung kebakaran berkenaan, manakala sekurang-kurangnya 150 penduduk dipindahkan sebagai langkah keselamatan.

Perancis merekodkan hampir 11,000 kebakaran sejak awal tahun ini.

Presiden Emmanuel Macron minggu lalu berkata negara itu tidak pernah menyaksikan jumlah kebakaran sedemikian sejak Perang Dunia Kedua.

Data satelit Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah (EFFIS) menunjukkan lebih 42,000 hektar kawasan telah terbakar di Perancis antara Januari hingga pertengahan Julai, melepasi rekod sebelumnya yang dicatatkan pada 2022.

Pakar mengaitkan peningkatan kejadian kebakaran hutan dengan perubahan iklim yang menyebabkan suhu global terus meningkat.

Menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus, Eropah merupakan benua yang mengalami pemanasan paling pantas, dengan kadar kenaikan suhu dua kali ganda lebih tinggi daripada purata global.

Keadaan itu menyumbang kepada gelombang haba yang lebih kerap pada musim panas, tekanan terhadap bekalan air serta kebakaran hutan yang semakin serius.

Musim panas tahun ini menyaksikan suhu ekstrem di seluruh Eropah yang mencetuskan beberapa kebakaran besar, termasuk di Sepanyol, di mana sekurang-kurangnya 13 orang dilaporkan terkorban.

Di utara Madrid pula, kebakaran besar memusnahkan kira-kira 29,000 hektar kawasan.
 

 

Must Watch Video

Advertisement