Skip to main content

Dunia

Dua anggota tentera AS terbunuh di Jordan

An U.S. flag is pictured on the arm of a soldier of the U.S. 2nd Cavalry Regiment as gear is prepared for deployment to Romania at Rose Barracks in Vilseck, Germany, February 9, 2022. REUTERS/Lukas Barth/File Photo
Tentera Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu mengesahkan dua anggotanya terbunuh di Jordan manakala seorang lagi dilaporkan hilang selepas serangan Iran. - Gambar hiasan Reuters
Advertisement

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu mengesahkan dua anggotanya terbunuh di Jordan manakala seorang lagi dilaporkan hilang selepas serangan Iran, ketika Pemimpin Tertinggi Iran memberi amaran bahawa Washington akan menerima balasan kerana cuba "mencetuskan peperangan" susulan tujuh malam berturut-turut serangan udara AS.

Ketegangan antara AS dan Iran semakin memuncak selepas perjanjian gencatan senjata sementara yang dimeterai sebulan lalu runtuh minggu lalu, sekali gus meningkatkan risiko tercetus semula perang berskala penuh.

Komando Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan, kedua-dua kematian itu berlaku pada Jumaat, sementara seorang lagi anggota tentera masih dikategorikan sebagai hilang dalam operasi.

Dengan insiden terbaharu itu, jumlah anggota tentera AS yang terkorban sejak konflik bermula meningkat kepada 16 orang, manakala lebih 420 lagi cedera.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, menerusi hantaran di platform X berkata:

"Selamat jalan, para wira. Pengorbanan mereka menguatkan lagi tekad kami."

Iran dilihat memperluaskan sasaran serangannya pada Sabtu dengan menyasarkan Jordan serta beberapa sekutu Washington di Teluk termasuk Arab Saudi, sebagai tindak balas terhadap serangan AS ke atas jambatan, kemudahan tenaga dan infrastruktur lain di republik Islam itu.

Dalam satu kenyataan bertulis yang disiarkan akaun rasmi media sosial pemimpin tertinggi Iran dan media kerajaan, Mojtaba Khamenei menyifatkan tindakan berulang AS melanggar perjanjian sementara itu sebagai bukti bahawa tandatangan Presiden Donald Trump "tidak bernilai dan tidak mempunyai kredibiliti."

"Kini apabila musuh Amerika berusaha memperhebat konflik sehingga menanggung kos yang lebih besar dan penghinaan yang lebih mendalam, mereka perlu tahu bahawa bangsa Iran yang mulia serta Barisan Penentangan mempunyai pengajaran yang tidak akan dilupakan untuk mereka," menurut kenyataan itu.

Keberadaan Khamenei ketika ini masih tidak diketahui.

Konflik yang bermula apabila AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada penghujung Februari bagi melumpuhkan program peluru berpandu serta rangkaian proksinya di rantau itu, telah mengganggu bekalan tenaga global, mencetuskan kebimbangan inflasi dan memperhebat perebutan kawalan ke atas Selat Hormuz.

Serangan Iran dilaporkan di Bahrain, Jordan dan Arab Saudi

Pada Sabtu, Kuwait menjadi sasaran siri serangan berterusan apabila angkatan tenteranya memaklumkan berjaya memintas beberapa peluru berpandu balistik dan dron Iran.

Pihak berkuasa turut melaporkan, sejumlah anggota bomba serta pekerja sektor minyak cedera ketika menjalankan operasi kecemasan susulan serangan tersebut.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa telah menyerang pusat sokongan ketenteraan AS di Kem Arifjan, Kuwait serta memusnahkan sebuah kemudahan radar di Pangkalan Udara Ali Al Salem.

Sementara itu, Kuwait Petroleum Corporation mengesahkan, salah sebuah fasiliti minyaknya terkena serangan berulang Iran yang menyebabkan kerosakan besar dan beberapa kecederaan.

Media Iran turut melaporkan, IRGC menyasarkan sebuah lokasi di Bahrain yang menempatkan pesawat tempur AS di Pangkalan Udara Sheikh Isa serta sebuah pusat data risikan.

Menurut televisyen kerajaan Iran, serangan peluru berpandu dan dron yang dilancarkan ke atas pangkalan AS di Al Azraq, Jordan pada awal Sabtu berjaya memusnahkan sekurang-kurangnya dua pesawat pejuang AS dan tiga pesawat lain.

Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut secara bebas.

Sistem amaran awal Arab Saudi pula mengeluarkan notis kecemasan pada awal Sabtu yang menggesa penduduk di Al-Kharj dan Yanbu mendapatkan perlindungan segera.

Al-Kharj, yang terletak di timur Riyadh menempatkan pangkalan tentera yang menjadi lokasi penempatan anggota AS, manakala Yanbu di pesisir Laut Merah merupakan terminal eksport minyak utama negara itu.

Menurut dua sumber yang mengetahui perkara berkenaan, amaran itu dicetuskan oleh serangan peluru berpandu Iran – yang pertama menyasarkan Arab Saudi dalam tempoh lebih tiga bulan.

Media kerajaan Arab Saudi bagaimanapun tidak menjelaskan punca amaran tersebut, manakala pejabat media kerajaan tidak memberi maklum balas terhadap permintaan komen.

IRGC tidak menyebut sebarang serangan terhadap Arab Saudi dalam kenyataan rasminya.

Perebutan kawalan Selat Hormuz semakin memuncak

Terdahulu, CENTCOM memaklumkan, pihaknya melengkapkan hari ketujuh berturut-turut operasi serangan dengan menyasarkan lokasi pengawasan Iran, infrastruktur logistik ketenteraan, stor senjata bawah tanah dan aset maritim negara itu.

Serangan udara AS pada awal Sabtu mengorbankan tiga orang dan mencederakan lapan yang lain di wilayah Hormozgan di selatan Iran, yang bersempadan dengan Selat Hormuz.

Televisyen kerajaan Iran turut melaporkan dua jambatan dan sebuah terowong jalan raya mengalami kerosakan akibat serangan tersebut.

Agensi berita separa rasmi Fars kemudian melaporkan AS melancarkan serangan tambahan di wilayah sama pada petang Sabtu, namun tiada kematian orang awam dilaporkan.

Kementerian Kesihatan Iran memaklumkan 50 orang terbunuh dan lebih 500 cedera akibat serangan AS dalam tempoh tiga minggu lalu.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, menuduh Washington cuba menguasai Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.

Kedua-dua pihak terus menyasarkan perkapalan di kawasan itu, dengan AS mendakwa melaksanakan sekatan laut, manakala Iran menyatakan tindakannya tertumpu kepada kapal yang melanggar peraturan pelayaran di Selat Hormuz.

Dalam perkembangan berkaitan, United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO) melaporkan berlaku satu insiden melibatkan sebuah kapal dagang dan pasukan ketenteraan di luar perairan Oman, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Harga minyak dunia meningkat lebih 4 peratus pada Jumaat, mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih sebulan dan menambahkan tekanan politik terhadap Presiden Trump ketika Parti Republikan berusaha mengekalkan penguasaan menjelang pilihan raya Kongres AS pada November.

Must Watch Video

Advertisement