WASHINGTON: Dua angkasawan wanita berjaya melaksanakan aktiviti berjalan di angkasa lepas di luar Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), menjadikannya kali keenam dalam sejarah misi seumpama itu dijalankan sepenuhnya oleh wanita.
Angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA), Jessica Meir, bersama angkasawan Perancis, Sophie Adenot, menjalankan aktiviti berkenaan selama kira-kira enam setengah jam bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan dan peningkatan sistem di ISS.
Dalam misi itu, Meir menggunakan lengan robotik Canadarm2 untuk bergerak ke lokasi kerja yang ditetapkan, manakala Adenot kekal ditambat pada stesen angkasa sepanjang operasi tersebut.
Meir sebelum ini mencipta sejarah pada 2019 bersama angkasawan NASA, Christina Koch, apabila mereka melaksanakan aktiviti berjalan di angkasa lepas pertama yang disertai sepenuhnya oleh wanita.
Misi terbaharu itu merupakan aktiviti berjalan di angkasa lepas ke-284 yang menyokong pembinaan, penyelenggaraan dan naik taraf ISS sejak stesen itu mula beroperasi.
Ia juga merupakan aktiviti berjalan di angkasa lepas ketujuh yang dijalankan pada tahun ini.
Program berjalan di angkasa lepas merupakan sebahagian daripada usaha berterusan agensi angkasa antarabangsa untuk memastikan ISS terus berfungsi dengan baik sebagai makmal penyelidikan di orbit yang menyokong pelbagai eksperimen saintifik dan teknologi.