DUNIA

Dua cedera dalam enam siri letupan bom di Narathiwat

Astro Awani 01/09/2025 | 06:10 MYT
Enam siri letupan bom berlaku di lima daerah Narathiwat, Thailand, menyebabkan dua individu cedera dan beberapa kemudahan awam rosak.
NARATHIWAT: Dua individu cedera dalam enam siri letupan bom yang menggegarkan lima daerah di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, lewat malam Sabtu hingga awal pagi Ahad.


Ringkasan AI
  • Enam siri letupan bom berlaku di lima daerah Narathiwat, Thailand, menyebabkan dua individu cedera dan beberapa kemudahan awam rosak.
  • Letupan dipercayai tindakan sabotaj terancang oleh kumpulan tidak dikenali, dengan insiden bermula di Sungai Padi dan merebak ke Chanae, Bacho, Cho-airong dan Si Sakhon.
  • Kawalan keselamatan diperketatkan di seluruh wilayah termasuk pos pemeriksaan dan laluan strategik, dengan orang awam digesa melaporkan aktiviti mencurigakan.


Menurut Pejabat Perhubungan Awam Wilayah Narathiwat, insiden pertama berlaku jam 7.40 malam di Lebuhraya 4056 berhampiran landasan kereta api di Kampung Aibatu, Mukim To Deng, Daerah Sungai Padi, apabila tayar dibakar dan objek mencurigakan diletakkan di atas jalan.

Sepuluh minit kemudian, sebuah bom meletup berhampiran lokasi tersebut ketika kenderaan Ketua Kampung Dusongyo dan seorang sukarelawan melintasi kawasan itu.

Kedua-dua mangsa — Asuding Kureng, 32, dan Fasree Maming, 28 — dilaporkan cedera, dan dihantar ke Hospital Sungai Padi untuk rawatan.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Letupan susulan dilapor berlaku di Chanae di mana dua bom meletup — satu berhampiran Masjid Dusongyo pada jam 11.55 malam dan satu lagi di Pasar Dusongyo pada jam 12.30 pagi. Tiada kecederaan dilaporkan.

Letupan bom turut dilaporkan di hadapan cawangan Bank Pertanian dan Koperasi Pertanian (BAAC) di Bacho pada jam 11.55 malam, juga di Cho-airong dan Si Sakhon yang merosakkan beberapa kemudahan awam termasuk mesin ATM.

An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Pihak berkuasa percaya insiden ini merupakan tindakan sabotaj terancang oleh kumpulan tidak dikenali.

Komander Wilayah Tentera Keempat, Leftenan Jeneral Paisal Nusang, telah mengarahkan kawalan keselamatan diperketatkan di semua pos pemeriksaan, kawasan ekonomi dan laluan strategik.

Pemeriksaan terhadap kenderaan dan individu mencurigakan turut dipertingkatkan di bawah pelan keselamatan sempadan 2025.

Orang awam diminta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan melalui talian kecemasan 1341 atau 191 yang beroperasi 24 jam secara percuma.










#bom #Narathiwat Thailand #letupan #kemudahan awam rosak