MONTREAL: Dua kanak-kanak maut manakala enam lagi cedera selepas sebuah bas merempuh pusat penjagaan kanak-kanak di Laval, Kanada pada Rabu.

Pemandu bas, Hamdi Ben Chaabane, 51, yang juga pekerja sistem pengangkutan awam tempatan, telah ditahan, kata jurucakap polis.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi ketika orang ramai sedang menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan tersebut.

Punca kejadian masih dalam siasatan namun polis percaya insiden itu disengajakan.

"Siasatan awal menunjukkan kejadian disengajakan namun punca kejadian masih dalam siasatan," kata Ketua Polis Laval, Pierre Brochet.

Katanya beberapa kanak-kanak tersepit di bawah tayar bas berkenaan dan mangsa cedera telah dikejarkan ke hospital.

Pihak berkuasa tidak mendedahkan lingkungan umur kanak-kanak tersebut namun menurut agensi berita Canadian Broadcasting Corp, sejumlah 80 kanak-kanak di bawah usia 5 tahun dihantar ke pusat jagaan berkenaan.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa susulan kejadian.

Laval terletak kira-kira 30 kilometer di utara Montreal, bandar kedua terbesar di Kanada.