Dua kapal berlanggar di Filipina, 1 maut, 3 hilang

Bernama
April 29, 2023 06:10 MYT
Kapal MV Hong Hai 189 membawa 20 anak kapal, seramai 16 daripadanya diselamatkan manakala mayat seorang anak kapal ditemukan pada Sabtu. - Facebook Philippine Coast Guard
MANILA: Dua buah kapal asing berlanggar di Pulau Corregidor di Filipina, menyebabkan seorang anak kapal maut manakala tiga lagi hilang, kata Pengawal Pantai Filipina (PCG) pada Sabtu.
Insiden pada Jumaat itu melibatkan kapal korek MV Hong Hai 189 dari Sierra Leone dan kapal MT Petite Soeur dari Kepulauan Marshall yang membawa bahan kimia dan produk minyak.
Menurut PCG, kapal MV Hong Hai 189 membawa 20 anak kapal, seramai 16 daripadanya diselamatkan manakala mayat seorang anak kapal ditemukan pada Sabtu.
Operasi mencari dan menyelamat diteruskan untuk mengesan anak kapal yang hilang, lapor Xinhua.
Sementara itu, kesemua 21 anak kapal MT Petite Soeur dilaporkan selamat.
-- BERNAMA
#kapal Filipina berlanggar #Pulau Corregidor #anak kapal maut #kapal korek