DUNIA

Dua karya palsu Picasso terjual di pusat lelongan Jerman

Bernama 05/08/2025 | 10:40 MYT
Unit jenayah seni Carabinieri di Rom telah mengambil tindakan terhadap suspek pada awal Julai, namun pihak berkuasa tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai siasatan. - Gambar hiasan
STUTTGART: Dua karya palsu Pablo Picasso terjual di sebuah pusat lelongan di Stuttgart, manakala dua lagi berjaya dirampas sebelum sempat dilelong, menurut pihak polis pada Isnin, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).


Ringkasan AI
  • Dua karya palsu Pablo Picasso daripada siri "Suite Vollard" berjaya dilelong di Stuttgart, manakala dua lagi dirampas sebelum sempat dijual, melibatkan suspek warga Itali yang dipercayai aktif dalam pasaran seni antarabangsa.
  • Sebanyak tujuh cetakan palsu telah dikesan setakat ini, hasil siasatan polis Jerman bersama Muzium Picasso di Munster yang mengesahkan kepalsuan karya tersebut.
  • Tindakan terhadap suspek telah diambil oleh unit jenayah seni Carabinieri di Rom, namun butiran lanjut siasatan masih belum didedahkan kepada umum.


Seorang warganegara Itali disyaki menawarkan salinan palsu berkualiti tinggi daripada siri "Suite Vollard" karya Picasso ke pasaran seni antarabangsa sejak beberapa tahun lalu, menurut kenyataan Pejabat Polis Jenayah Negeri Baden-Wurttemberg (LKA). Cetakan tiruan itu akhirnya sampai ke pusat lelongan di Stuttgart.

Daripada dua karya palsu yang dijual, satu dirampas daripada seorang pengedar seni di bandar Worms, manakala satu lagi kini berada di Austria.

Unit jenayah seni Carabinieri di Rom telah mengambil tindakan terhadap suspek pada awal Julai, namun pihak berkuasa tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai siasatan.

Sehingga kini, sebanyak tujuh cetakan palsu yang dikaitkan dengan suspek dan rangkaiannya berjaya dikesan, menurut LKA.

Pejabat polis negeri Jerman di Baden-Wurttemberg dan Berlin telah mengendalikan kes ini selama beberapa tahun, hasil kerjasama erat dengan Muzium Picasso di Munster yang mengesahkan bahawa karya-karya terbabit adalah palsu.

"Suite Vollard" merupakan siri karya terkenal, terdiri daripada 100 cetakan yang dihasilkan Picasso antara 1930 dan 1937 atas tempahan peniaga seni dan penerbit Ambroise Vollard.

Siri ini dianggap antara karya grafik paling penting dalam karier Picasso.

-- BERNAMA






#Picasso #pusat lelongan Jerman #karya palsu #lukisan palsu